25 March 2008

Pakatan 5 negeri bentuk dimensi baru politik Malaysia

KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Dimensi baru politik Malaysia mulai terserlah sekarang selepas rakyat di lima negeri menolak keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mulai kelihatan pakatan di antara kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor selepas halangan besar di bawah kuasa BN berjaya ditumbangkan.

Khamis lalu, kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Kedah sambut dengan protokol kerajaan negeri terbabit.

"Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang tiba dengan penerbangan Firefly di Lapangan Terbang Bayan Lepas disambut pemimpin kerajaan Pulau Pinang.

"Kereta khas milik kerajaan Kedah menyambut Menteri Besar Kelantan di tempat pendaratan kapalterbang. Beliau disambut wakil kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemimpin Kedah.

"Kemudian diiringi ke Alor Setar dengan kereta bersama pemimpin kerajaan kedua-dua negeri," kata pegawai pengiring daripada Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Wan Zulkefli Wan Mohamad.

Menurutnya kemesraan jelas terbayang apabila pemimpin kerajaan baru di Kedah dan Pulau Pinang menyambut ketibaan Menteri Besar Kelantan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kata beliau Tuan Guru Nik Abdul Aziz disambut sebagai tetamu negeri sebelum menghadiri ceramah di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat bersama Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan juga dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary iaitu masjid terbesar di Kedah.

Katanya, biar pun Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah acap kali datang ke Kedah dan Pulau Pinang namun tidak pernah sambutan sedemikian rupa.

Manakala hari ini pula Menteri Kedah dijemput sebagai tetamu kerajaan Kelantan sempena majlis kesyukuran kemenangan kerajaan Barisan Alternatif di negeri ini pada pilihan raya umum lalu.

Ceramah khas sempena program berkenaan akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bermula jam 9.30 malam ini yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Azizan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan hari ini.

"Sebanyak 30 kawah nasi dan 30 kawah gulai sedang dimasakkan petugas-petugas PAS dari Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa untuk jamuan orang ramai yang bermula selepas solat Asar.

"Selepas solat Asar juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan berucap ringkas untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas PAS yang bekerja keras pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya juga Menteri Kedah dijangka tiba di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 pada petang ini sebelum menghadiri ceramah di Putik.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan makan malam sebagai meraikan rombongan Menteri Besar Kedah.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment