12 March 2008

Nizar Zakaria dijangka angkat sumpah jam 4 petang ini

Oleh Tarmizi Mohd Jam
Rabu, 12 Mac 2008

KIRA-KIRA jam 4 petang ini, Perak mendapat Menteri Besar yang baru. Bukan lagi dari parti tradisi BN. Kali ini, MB yang mewakili suara rakyat, suara keramat!

Ir. Mohamad Nizar Zakaria dicalonkan secara kolektif PAS, PKR dan DAP sebagai MB Perak yang baru. Ini bermakna buat julung kalinya, ketiga parti ini menubuhkan kerajaan campurannya di Perak.

Nizar menang kerusi Dun Pasir Panjang dalam Parlimen Lumut pada pilihan raya 8 Mac lalu. Beliau adalah Setiausaha PAS Perak dan Yang Dipertua PAS Kampar.

Menurut Bernama, Nizar sendiri mengesahkan tentang persetujuan tiga parti tersebut untuk beliau mengetuai Kerajaan Campuran di Perak. Persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan bersama anata parti semalam.

Menurut sumber, ia telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan petang ini, kira-kira jam 4 Nizar akan mengangkat sumpah sebagai MB Perak.

Dalam pilihan raya ke 12 ini, PAS menang enam kerusi Dun, DAP (18) dan PKR (7) untuk mengumpul 31 kerusi bagi membolehkan kerajaan dibentuk.

Jumlah itu, lebih tiga kerusi berbanding BN yang hanya menangi 28 kerusi Dun.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Perak, seperti yang diulas oleh Dr. Abdul Aziz Bari, MB mestilah harus seorang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Ini menyebabkan DAP dan PKR terpaksa akur melantik Ir. Nizar bagi menduduki kerusi MB Perak.

Namun demikian, media cuba melaga-lagakan isu perkauman kononnya orang-orang Cina di Perak berasa bimbang bernaung di bawah seorang MB dari PAS.

- http://klpos.com

No comments:

Post a Comment