12 March 2008

Harga minyak catat rekod tertinggi AS$109.04 setong

KUALA LUMPUR 11 Mac – Harga minyak mentah global mencatat rekod tertinggi baru apabila naik melepasi paras AS$109 (RM348.31) setong dalam dagangan Asia petang ini, ekoran kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan permintaan yang teguh.

Harga kontrak hadapan minyak mentah ‘Light, Sweet’ bagi penghantaran bulan April berada pada paras AS$109.04 (RM348.43) setong pada pukul 8 malam ini waktu Malaysia dalam dagangan elektronik di luar waktu urus niaga New York Mercantile Exchange (NYMEX) di Eropah.

Paras harga tersebut adalah AS$1.14 (RM3.64) atau 1.06 peratus lebih tinggi berbanding paras penutup pada awal pagi ini iaitu pada AS$107.90 (RM344.79) setong di New York dan merupakan paras tertinggi dalam sejarah sejak komoditi tersebut mula didagangkan di NYMEX pada tahun 1983.

Pengurus Kanan Pelaburan Institusi Inter-Pacific Securtites Sdn. Bhd., Deti Affendi A. Kadir berkata, punca utama peningkatan berterusan harga minyak mentah global adalah disebabkan kejatuhan dolar AS berbanding mata wang utama lain, terutama berbanding euro Eropah dan yen Jepun.

“Keadaan pasaran tukaran mata wang global yang tidak menentu ketika ini ekoran krisis kewangan teruk yang melanda ekonomi AS, adalah punca utama menyebabkan harga komoditi ini terus meningkat.

“ Setakat ini, nilai dolar telah dilaporkan susut ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun berbanding yen dan Kesatuan Eropah (EU) mulai menyuarakan kebimbangan berhubung perkembangan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Deti, Rizab Persekutuan AS dijangka akan menurunkan sekali lagi kadar faedah iaitu antara 50 hingga 75 mata asas daripada kadar faedah semasa iaitu 3.0 peratus bagi merangsang semula aktiviti ekonomi negara kuasa besar itu.

“Tindakan AS menurunkan kadar faedah secara berperingkat-peringkat sebanyak 225 mata asas sebelum ini, iaitu dari 5.25 peratus pada September lalu kepada 3 peratus pada akhir Januari lepas, telah menyebabkan pasaran tukaran wang dan komoditi menjadi tidak menentu.

“Kontrak hadapan minyak mentah yang didagang berasaskan dolar AS merupakan pelaburan lindung nilai yang dirasakan selamat oleh pelabur global dalam situasi kejatuhan nilai dolar AS,” katanya.

Sementara itu, katanya, permintaan tinggi daripada gergasi ekonomi global seperti China, AS, Eropah dan India juga kekal tinggi, di sebalik pengeluarannya yang terhad.

“Keupayaan negara-negara pengeluar minyak mentah global untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran ekoran kosnya yang tinggi dan kurang keupayaan teknologi menjadikan harganya kekal tinggi,” tambah beliau.

“Peralihan pelaburan oleh dana lindung nilai dan dana pencen global daripada pegangan berasaskan dolar AS kepada komoditi, dan keadaan ketidakstabilan politik di negara-negara pengeluar minyak akan menyebabkan harga minyak global kekal di atas paras AS$100 (RM319.55) setong untuk satu tempoh yang agak lama,” katanya.

- http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment