30 March 2008

MB Selangor Minta Belia Antara 21 Dan 35 Tahun Didaftarkan

SABAK BERNAM, 29 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta pegawai daerah, penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya mendaftarkan golongan belia berusia antara 21 dan 35 tahun di kawasan mereka untuk diberikan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

Ini adalah salah satu cara supaya golongan belia ini boleh merasai kemewahan yang dikecapi oleh Selangor yang mencapai tahap negeri maju sejak tahun 2005 lagi, katanya pada satu majlis jamuan kesyukuran di sini hari Sabtu.

Abdul Khalid berkata kalau 1.5 juta pekerja asing boleh mendapat pekerjaan di Selangor masakan orang tempatan boleh ketinggalan dan tidak mendapat pekerjaan.

Beliau juga berkata kakitangan kerajaan mahupun penghulu dan pengerusi JKKK perlu mengubah minda mereka bahawa mereka perlu berkhidmat untuk rakyat dan bukannya menjadi ejen kepada pihak-pihak tertentu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment