KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia hari ini mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Belanda Geert Wilders yang menyiarkan filem bertajuk "Fitna" secara online.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata filem itu memaparkan Islam sebagai agama yang berkaitan dengan extremism dan keganasan, dan ia bukan sahaja terpesong dan salah, tetapi juga jelas tidak menghormati Islam serta tidak sensitif terhadap dunia Muslim.
"Jika rancangan beliau adalah untuk mendapat keuntungan politik di negaranya, beliau perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap penyiaran filem itu dan segala tindak balas terhadap tindakannya," menurut Rais dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra di sini hari ini.
Katanya Malaysia juga memohon kerajaan Belanda untuk mengambil langkah sewajarnya terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu dan berusaha ke arah menangani kesan daripada tindakan Wilders itu.
"Kebebasan boleh dihormati tetapi ia juga membawa tanggungjawab tertentu," katanya.
Filem sepanjang 15 minit yang disiarkan pada 27 Mac lepas yang jelas mengkritik Islam itu mendapat bantahan serta kutukan banyak pihak termasuk Kesatuan Eropah dan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Rais berkata semua langkah yang sudah diambil bagi mempromosi dialog dan persefahaman antara pelbagai agama serta kebudayaan, tidak akan membuahkan sebarang kejayaan sekiranya pihak-pihak tertentu seperti Wilders serta sekutunya memilih untuk menyebarkan pembohongan dan kecaman atas nama kebebasan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment