Kisah Zam, Khalid, Anwar, Azizah di restoran Jepun PJ Hilton
DENGAN jalan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut dicampur pula dengan tokok tambah sebagai penyedap bahan perbualan ia boleh bertukar jadi seolah-olah cerita benar.
Dalam keadaan politik yang ‘macam-macam’ sekarang apa saja boleh menjadi bahan desas desus.
Cuba tengok kes Datuk Seri Zainuddin Maidin.Heboh juga cerita yang tersebar termasuk kalangan circle atasan mengatakan bekas Menteri Penerangan itu ‘sudah berunding’ dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cerita ini timbul bila ada yang ternampak beliau berbual dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di sebuah restoran Jepun di Hotel Hilton Petaling Jaya. Betulkah bagai yang dicerita?
Agendadaily menghubungi Zam sendiri petang Ahad untuk mendapat pengesahan.Tanpa berselindung beliau mengakui ada bersua dengan Anwar.
Namun kemudiannya sambil tertawa Zam menjelaskan ia berlaku secara kebetulan semasa sedang makan di restoran itu bersama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Khalid Mohd dan bekas Timbalan ketua Pengarang Kumpulan Utusan Hamzah Sidek pada pada waktu tengahari Khamis 13 Mac baru ini.
Katanya pada waktu itu restoran itu penuh dengan pelanggan dan semua bilik habis ditempah.Beliau,Khalid dan Hamzah terpaksa duduk di sebuah meja biasa dalam restoran itu.
Tidak lama kemudian Datin Seri Wan Azizah Ismail bersama anak kecil iaitu cucunya masuk dan duduk di meja sebelah mereka.
Kemudiannya Anwar pula masuk.Menurut Zam mereka bertegur sapa sejenak dan sebelum kira-kira 45 minit kemudian mereka keluar setelah habis makan.Mereka sekali lagi bercakap sejenak.
“Itu saja…antara yang saya ingat Anwar kata pada saya Zam you look good ,”katanya.
Zam berkata beliau sendiri hairan bagaimana pertemuan secara kebetulan itu menjadi bahan desas desus.
“Who am I ,”katanya sambil memberitahu baginya tidak ada sebarang agenda atau kepentingan politik.
“Bab politik sudah habis bagi saya.”katanya.
Menurut Zam beliau merasa bersyukur dalam memberi khidmat kepada kerajaan dan rakyat selama memegang jawatan menteri,timbalan menteri dan Setiausaha Parlimen dulu.
“Saya tidak rasa saya ada apa-apa masa depan dalam politik sekarang.Kalau saya nak ambil tahu pun apa-apa tentang politik ialah sebagai seorang wartawan,”katanya.
Zam memberitahu beliau cuma tersedar ada orang yang bercakap hal ini bila menerima panggilan telefon pada jam 11 malam Khamis dari bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil bertanya hal itu.
“Datuk Shahrizat tanya saya betulkah saya ada buat pertemuan dengan Datuk Seri Anwar.Saya pun jelaskan hal sebenar kepadanya,”katanya.
Beliau tewas di kerusi parlimen Sungai Petani dalam pilihanraya umum 8 Mac ditangan calon Parti Keadilan Rakyat, Johari Abdul.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan itu sebelum itu menang kerusi parlimen Merbok yang bersempadan dengan Sungai Petani semasa pilihanraya umum 2004.
http://klpos.com
No comments:
Post a Comment