MARANG, 11 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata kedudukannya sama ada dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu adalah bergantung kepada pihak istana.
Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat salah seorang mangsa yang dihalang penyokong PAS ketika proses pengundian Sabtu lepas di sini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Mengenai spekulasi bahawa beliau tidak akan meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar, Idris berkata "tak apalah (mengenai spekulasi itu). Saya kata itu (kedudukan jawatan Menteri Besar) atas istana (yang tentukan), saya tidak perlu jawab soalan tersebut."
Ketika ditanya bila kedudukan Menteri Besar itu dapat diketahui, beliau yang kelihatan tidak selesa dengan soalan tersebut berkata: "faham ke tak. Saya kata itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut."
Menjawab soalan bahawa Terengganu yang merupakan antara negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) yang masih belum mengadakan majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Idris menjawab dengan ringkas: "itu biasa".
Pada masa ini khabar angin bertiup kencang bahawa Idris tidak akan meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar.
Sebelum itu, majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu dan pelantikan exco-exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu, pagi semalam terpaksa ditangguhkan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata penangguhan itu berlaku kerana masalah teknikal berikutan Idris masih berada di Kuala Lumpur.
Pada pilihan raya umum Sabtu lepas, BN menang 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki lapan kerusi oleh PAS.
BN juga menguasai tujuh daripada lapan kerusi parlimen. Kerusi tunggal yang dimenangi pembangkang itu ialah Parlimen Marang oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment