08 March 2008

Berita Undi Pilihan Raya - Pengundi hantu dikesan di Arau, Dr Haron Din buat bantahan

ARAU, 8 Mac (Hrkh) - Calon PAS bagi Parlimen Arau, Dato' Dr Haron Din membuat bantahan dan aduan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya kerana wujud kes pengundi tidak dapat mengundi kerana namanya sudah digunakan untuk mengundi.

Ustaz Haron turut membuat laporan polis di balai berdekatan sebentar tadi.

Menurut beliau, Harison Mat Saman pengundi di Dewan Undangan Negeri Guar Sanji dan Mansor Jusoh untuk Dun Pauh mendapati nama mereka sudah digunakan.

Kedua-duanya dalam Parlimen Arau di mana Timbalan Mursyidul Am PAS itu ditentang oleh Dato' Ismail Kassim, adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

"Inilah yang saya katakan sebagai pengundi hantu, jelas Barisan Nasional memberikan kad pengenalan palsu kepada penyokongnya untuk mengundi.

"Pada saya taktik ini amat kotor dan jelas bertentangan dengan lunas demokrasi," tegasnya.

Menurut beliau, ketika aduan dan bantahan dibuat, pihak SPR gagal memberi alasan yang memuaskan bagaimana boleh berlaku nama pengundi sudah digunakan.

"Saya amat dukacita kerana SPR enggan bertanggungjawab dan enggan memberi kerjasama untuk memperakui bantahan yang kita buat" ujarnya.

Katanya, akhirnya selepas didesak bertubi-tubi beberapa kali barulah ketua tempat mengundi mahu memberikan perakuan.

Itu pun katanya, beliau enggan memberikan salinan borang bantahan, sebaliknya menulis perakuan tersebut pada kertas buku tulis yang dikoyak.

- http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment