Mawi akhirnya mengaku Ekin teman istimewa
GENTING HIGHLANDS: Selepas sekian lama membiarkan peminatnya berteka-teki, Penyanyi popular, Asmawi Ani, 27, semalam mengesahkan pelakon Nora Asikin Rahmat, 29, atau lebih dikenali Ekin sebagai teman istimewanya.
"Ekin adalah wanita paling istimewa dalam hidup saya ketika ini," kata Mawi tatkala ditemui bersama kekasihnya itu pada majlis minum petang anjuran Lord's Tailor di sebuah restoran di sini, semalam.
Bagaimanapun, pasangan itu menafikan gosip siaran Bintang Popular semalam yang mengatakan mereka bakal menamatkan zaman bujang pada Disember nanti.
"Namun, seandainya jodoh saya dengan Ekin sampai, saya bersedia menerima ketentuan ini," kata Mawi sambil memberitahu, mereka belum pun membuat perancangan ke arah itu.
Pasangan itu turut berjanji akan memaklumkan kepada pihak media, apabila tiba masa mereka akan melangsungkan pertunangan.
Ditanya mengapa mereka merahsiakan perhubungan itu Mawi menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk menyorok percintaan mereka berdua, sebaliknya akan bercerita mengenai perkara itu apabila tiba masanya.
Sementara itu, Ekin menyatakan betapa dia terkejut dengan gosip yang disiarkan itu. "Kalau betul-betul kami hendak berkahwin, tentu sudah lama persiapan dilakukan. Bertunang pun belum, takkan terus kahwin?" katanya.
Ditanya mengenai keistimewaan gadis itu, Mawi berkata, Ekin seorang periang, bersifat matang dan senang dibawa berbincang.
"Saya senang berkawan dengannya," kata Mawi yang mula mengenali Ekin pada 2006 ketika menjayakan program Resume Untuk Mawi.
http://www.bharian.com.my
GENTING HIGHLANDS: “Ekin memang teman istimewa saya,” kata Asmawi Ani, 28, atau Mawi ketika mengulas gosip hubungan cintanya dengan model dan pelakon, Nora’ Ashikin Rahmat, 29.
Katanya, dia dan Ekin belum lagi membuat sebarang persiapan untuk berkahwin.
“Begitupun, segalanya kami serahkan pada jodoh. Insya-Allah sekiranya ada rezeki dan tiba masanya satu pengumuman khas akan dibuat,” katanya sambil diperhatikan Ekin yang duduk di sisinya di majlis minum petang bersama 13 artis lelaki popular anjuran Lord’s Tailor di sini, semalam.
Mawi yang dikerumuni wartawan ditemani Ekin bagi menjayakan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007).
Bagaimanapun, kedua-dua mereka menafikan bakal mendirikan rumah tangga Disember depan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai hubungan cintanya dengan Ekin, Mawi berkata, sebelum ini, bukan dia tidak mahu mengaku, tetapi menganggap ia isu peribadi.
“Saya menjelaskan perkara itu kerana tidak mahu timbul kekeliruan. Saya juga tidak mahu orang menuduh saya hipokrit atau penipu. Sebaliknya, sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk saya menyatakan perkara sebenar,” katanya.
Menurut Mawi, karekter gila-gila dimiliki Ekin yang tidak pernah menimbulkan masalah membuatkan dia berasakan pelakon drama bersiri, Kawan itu wanita paling sesuai untuk dirinya.
Sementara itu, Ekin tanpa berselindung berkata, sepanjang berkawan dengan Mawi, mereka tidak pernah membicarakan soal bila hendak berkahwin.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment