29 March 2008

Ahmad Said angkat sumpah MB Ahad

KEMAMAN 28 Mac – Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Istana Maziah, Ahad ini.

Menurut Ahmad, 51, hanya upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar akan berlangsung kira-kira pukul 9 pagi di istana berkenaan kerana Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang sepatutnya mengangkat sumpah bersama beliau masih belum dilantik.

Katanya, pelantikan Exco akan diputuskan dalam tempoh seminggu atau selewat-lewatnya 10 hari selepas upacara angkat sumpah.

``Ini bagi membolehkan saya berbincang dan mendapat nasihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh terlebih dahulu selain mengenal pasti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sesuai dan berkelayakan agar mereka yang dipilih nanti benar-benar berkemampuan.

``Saya yakin dan percaya mereka yang bakal dipilih terdiri pelbagai latar belakang dan pengalaman selain mewakili pelbagai bahagian dan daerah,'' katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba dari ibu negara di kediaman ibunya di Kampung Telok Kalong di sini petang ini.

Sejurus tiba, beliau terus mencium dan memeluk ibunya Wook Ali, 86, dengan penuh emosi dan linangan air mata sambil diperhatikan isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud dan empat anaknya iaitu Nor Asdayana, 23, Nor Asyahirah, 21, Mohd. Ashraf Farhan, 18, dan Mohd. Ashrul Farhan, 12. - Utusan.

No comments:

Post a Comment