25 March 2008

Ahmad Masuk Pejabat Sebelah Pagi, Idris Sidang Media Sebelah Petang

MB T'ganu: Idris panggil media

Ketika menteri besar baru Datuk Ahmad Said sedang bertugas, krisis pelantikan jawatan itu kini mungkin menyaksikan satu lagi "drama" dalam sidang media Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.

Idris, yang mendapat dukungan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan bertemu media di hotel Hyatt Saujana, Subang jam 2 petang ini - sidang media kedua selepas Ahmad secara rasmi dinamakan untuk jawatan itu oleh istana.

Krisis pelantikan menteri besar Terengganu bermula selepas majlis angkat sumpah Idris di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac ditangguhkan.

Calon-calon pengganti Idris bagaimanapun tidak diumumkan sehingga 14 hari kemudian apabila pejabat Sultan Terengganu menamakan Ahmad untuk jawatan itu Sabtu lalu.

Majlis angkat sumpahnya, yang dijadual kelmarin, ditangguhkan - dipercayai akibat pemulauan 23 Adun BN yang diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid.

Ahmad, yang menerima watikah pelantikan kelmarin, memulakan tugas rasminya di Wisma Darul Iman pagi ini walaupun tanpa majlis angkat sumpah.

Kumpulan 22 wakil rakyat BN sentiasa menegaskan Idris satu-satunya calon yang layak untuk jawatan tersebut kerana mendapat sokongan majoriti dan surat sokongan daripada Perdana Menteri.

MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment