19 February 2008

Tertuduh kes Ying Ying meninggal

PULAU PINANG 18 Feb. - Seorang jurujual yang dituduh membunuh anak teman wanitanya, Shearwel Ooi Ying Ying, 3, ditemui mati di klinik Penjara Pulau Pinang di Jalan Gaol di sini hari ini.

Mayat Ong Chee Leong, 29, ditemui dalam keadaan lehernya dijerut dengan sehelai baju oleh seorang warden penjara di klinik tersebut kira-kira pukul 4 petang.

Warden tersebut yang cuba menyelamatkan Chee Leong dengan meminta bantuan rakan sekerjanya gagal berbuat demikian kerana ketika itu dia telah pun mati.

Difahamkan, Chee Leong berada di klinik tersebut untuk mendapatkan rawatan ekoran mengalami sakit kepala sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Pihak kami menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4 petang dan siasatan awal mendapati dia menggantung dirinya di klinik tersebut.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut," katanya.

Chee Leong merupakan tertuduh dalam kes bunuh Ying Ying yang dipercayai dibakar di tanah perkuburan Cina Paya Terubong di Ayer Itam di sini enam bulan lalu.

Mengikut kertas pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown, dia didakwa membunuh Ying Ying antara pukul 7.30 pagi dan 6.30 petang pada 5 Julai tahun lalu di rumahnya Blok 11-05-3A, Seri Impian Lengkok Angsana, Bandar Baru Air Itam di sini.

Selain menghadapi pertuduhan tersebut, dia juga didakwa atas dua pertuduhan lain berkaitan kes memiliki dadah.

Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Februari lalu menetapkan pada 26 Mac depan untuk mendengar perbicaraan kes terhadap Chee Leong.

- utusan

No comments:

Post a Comment