21 February 2008

Penggunaan dakwat masih samar?

KOTA BHARU, 20 Feb (Hrkh) – Mungkinkah hasrat rakyat di negara ini yang mahu melihat pengendalian pilihan raya benar-benar telus belum kesampaian apabila penggunaan dakwat seperti belum dimuktamadkan. Isu itu berbangkit apabila Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan, Haji Abdul Rahim Md Salleh tidak dapat menjawab soalan mengenai penggunaan dakwah ketika taklimat pilihan raya umum ke-12 kepada media yang diadakan hari ini.

“Isu penggunaan dakwah ini memang menarik perhatian ramai. Bagaimanapun saya tidak dapat menjawabnya kerana ia akan diputuskan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Terpulang kepada ibu pejabat untuk menjelaskan mengenai perkara ini,” katanya menjawab soalan wartawan.

Sebelum ini Malaysia For Free And Fair Elections (Mafrel) menganggap langkah SPR memperkenalkan penggunaan dakwah kepada pengundi dianggap masih boleh dipertikaikan kerana belum ada pindaan terhadap Peraturan Perjalanan Pilihan Raya.

Pengerusinya, Abdul Malek Hussin berkata, tanpa dimasukkan peraturan tersebut dalam pindaan peraturan pilihan raya, ia memberi ruang kepada pengundi untuk mencabarnya.

“Pengundi boleh enggan membenarkan jarinya ditanda dakwah kerana ia tidak terdapat dalam Peraturan Perjalanan Pilihan Raya biar pun perubahan dilakukan SPR untuk memperlihatkan proses pilihan raya lebih telus,” kata Malek.

Pada taklimat itu Abdul Rahim mempamerkan peti lut cahaya yang tahan lasak. Beliau juga membuat demontrasi menjatuhkan peti itu dari atas meja, namun tidak pecah.

Peti tersebut mempunyai tali yang akan diikat pada telinga peti sepanjang tempoh pembuangan undi berlangsung. Selepas tamat tempoh mengundi, lubang tempat dimasukkan kertas undi akan ditutup.

Selain itu, kertas undi yang dimasukkan ke dalam peti tersebut selepas dilipat empat tidak nampak apa-apa tulisan di dalamnya.

Jumlah pengundi di Kelantan yang diwartakan pada 5 Febuari lalu seramai 751,682 orang dan pengundi pos pula seramai 11,241 orang.

Parlimen Tumpat mencatat bilangan pengundi paling ramai iaitu 80,072 orang dan 320 pengundi pos.

Jumlah undi pos paling banyak iaitu di Ketereh seramai 3,457 orang, diikuti Jeli (2,723 orang) dan Pengkalan Chepa (2,506 orang).
-harakahdaily

No comments:

Post a Comment