28 February 2008

Shahir mahu bela pekerja di Parlimen

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi parlimen Pandan, Syed Shahir Syed Mohamed, akan membangkitkan isu-isu pekerja dalam kempennya menjelang pilihanraya raya umum 8 Mac ini.

Shahir, yang juga presiden MTUC berkata, beliau mewakili kaum pekerja. Penyertaan Shahir dalam pilihanraya bukanlah sesuatu yang baru baginya.

Bekas guru dari Pahang ini pertama kali bertanding dalam pilihanraya umum 1974 ketika berusia 21 tahun.

Menurutnya, komposisi kaum pengundi di Pandan tidak penting dalam kempennya.

"Apa yang saya cuba bawa ke Parlimen tidak kena mengena dengan kaum. Selagi seseorang itu pekerja, dia ada kaitan dengan idea-idea yang saya mahu perkenalkan.

"Ambil contoh rang undang-undang gaji minimum. Tidak kisah sama ada orang itu Melayu, India atau Cina. Gaji minimum RM900 akan mengeluarkan rakyat dari kemiskinan.

"Sebenarnya, jumlah tersebut bukannya besar jika anda tinggal di kawasan bandar seperti di Lembah Klang, Johor Bahru atau Pulau Pinang.

"Tetapi ia boleh dimulakan dengan rang undang-undang gaji minimum," kata Syed Shahir.

Peluang di Pandan

Pada masa ini, kata Shahir, tidak ada seorangpun yang bercakap bagi pihak kaum pekerja di Parlimen.

"Memang ada Kementerian Sumber Manusia. Tetapi jika menterinya tidak buat kerjanya, maka tiada siapa yang boleh membantu kaum pekerja," katanya.

Bagaimana peluangnya menentang penyandang kerusi Pandan dari MCA, Datuk Ong Tee Kiat, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi?

Ong memenangi kerusi tersebut pada 2004 dengan majoriti 14,112 undi.

"Senario ketika itu berbeza. Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) baru sahaja mengambil alih kuasa dan seluruh negara teruja dengan perdana menteri yang baru.

"Selepas empat tahun, rakyat tidak lagi pasti, jadi peluang saya tidaklah gelap. Lebih penting lagi, saya bercakap bagi pihak pekerja dan saya pasti itu akan menarik sokongan penduduk Pandan," katanya.

Selain gaji minimum, Shahir berkata, beliau juga mahu membawa idea mengehadkan jumlah pekerja asing di Malaysia, melanjutkan usia persaraan dan menggubal skim keselamatan sosial.

Jika presiden MTUC itu terpilih mewakili kerusi Pandan, maka beliau menyertai senarai kumpulan aktivis pekerja seperti V David, Dr Tan Chee Khoon, V Veerapan dan Tan Pock Kin yang semuanya terpilih sebagai ahli parlimen.

- http://malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment