27 February 2008

Polis buru kumpulan samun

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Polis kini mencari saki-baki ahli kumpulan penyamun yang menjadikan pelanggan bank sebagai sasaran setelah tiga daripadanya ditembak mati di Jalan SS25/23 di Taman Mayang di Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah melancarkan operasi membanteras kumpulan penyamun itu yang masih bebas di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, polis percaya beberapa ahli lain kumpulan itu kini berada di bandar besar termasuk Ipoh dan Johor Bahru.

"Dalang kumpulan penyamun itu telah ditembak semalam tapi polis akan terus memburu ahli yang lain.

"Kita harap operasi ini berjaya membanteras sepenuhnya kegiatan jenayah samun terhadap pelanggan yang keluarkan wang di bank-bank terutama di Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang semalam, tiga lelaki warga asing mati ditembak ketika cuba menyerang pasukan polis dengan parang, beberapa minit selepas mereka menyamun seorang pelanggan bank tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketiga-tiga lelaki itu adalah penjenayah diburu oleh polis kerana dipercayai terlibat dalam 30 kes samun dengan modus operandi menyamun pelanggan-pelanggan yang baru mengeluarkan wang di bank di Lembah Klang.

Dalam kes semalam, ketiga-tiga penjenayah yang menaiki kereta Proton Waja telah dikejar oleh polis selepas menyamun seorang pelanggan di sebuah bank di Dataran Prima, Kelana Jaya.

Mengenai perkembangan terbaru siasatan kes tiga lelaki yang ditembak semalam, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Kita sedang buat siasatan dan kita tidak mahu ia terganggu atau menjejaskan usaha memburu ahli kumpulan itu yang masih bebas," jelasnya.

- http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment