Kini sudah jam 1245 malam hari Rabu, bermakna oleh kerana kesuntukkan waktu lantaran kesibukkan tugas, saya tidak berkesempatan update blog ini sepanjang hari Selasa. Maaf kepada mereka yang setia mengikuti blog ini.
Kempen pilihan raya umum terus hangat membahang.
Saya perhatikan pihak BN buat pertama kalinya kini mengeksploitasi sepenuhnya media yang sememangnya berada di dalam cengkaman mereka. Kalau pada pilihanraya yang lepas-lepas media diperalatkan untuk kepentingan mereka, kini ia terus terang-terang menyeru rakyat mengundi mereka. Di akhbar, di radio apalagi di TV termasuk Astro, para pembaca, pendengar dan penonton dirayu mengundi Barisan Nasional! Kalau bulan dan bintang serta matahari pun boleh turut dilacurkan untuk kepentingan BN saya yakin ianya juga tidak akan terlepas. Demikianlah betapa terdesaknya BN.
Tentunya sikap rakus dan buruk BN ini membelakangkan apa sahaja amalan demokrasi yang memberikan akses dan kebebasan media kepada semua pihak yang bertanding di dalam sesuatu pilihanraya. Yang penting Umno dan BN mesti menang, bukan sekadar menang tetapi menang besar. Persetankan apa sahaja amalan dan konvensyen yang pentingnya pembangkang mesti dikalahkan. Kalau perlu media dieksploitasi dan dilacurkan, maka BN akan lakukan. Kalau perlu perkudakan media untuk tabur fitnah terhadap pembangkang, maka medialah perkakasnya.
Sayang kita kononnya mendabik dada sudah lebih 50 tahun bertuan di bumi sendiri, sayangnya bumi merdeka ini mengamalkan peraturan lebih buruk dan kuno dari yang dipaksa ke atas kita oleh penajajah asing yang tidak berhati perut.
Kini segala-galanya terletak di atas hati dan kemahuan rakyat. Jika walaupun diasak dan diterkam oleh media yang sudah punah kewarasannya ini, rakyat tetap mahu dan cintakan kebenaran dan keadilan, maka berbelanjalah BN berapa juta RM sekali pun, rakyat akan tetap menolak mereka. Akan tetapi kiranya rakyat terus termakan tuba dan racun mereka, maka punah dan jahanamlah negara. Ketika itu kemanuasiaan dan maruah sudah tidak ada nilai lagi, yang dipandang mulia adalah pangkat dan kuasa semata-mata, kita akan terus-menerus hina di atas bumi yang kita dakwa tanah air kita yang tercinta.
- http://n32.blogspot.com
No comments:
Post a Comment