SEJAK hari penamaan calon, anak sulung Anwar Ibrahim, Nurul Izzah yang bertanding di Parlimen Lembah Pantai dikatakan 'dikejar' peminat misteri yang sanggup menghantar lebih 30 sms setiap hari kepada Pengarah Piliharaya PKR Lembah Pantai Mat Zaman Tasi. Selain SMS yang diterima siang dan malam, peminat misteri itu juga membuat panggilan telefon.
"Penat saya menjawab, dia merayu-rayu hendak bercakap dengan Nurul Izzah, bila saya tanya buat apa hendak cakap, kata dia, hendak buat Nurul Izzah kakak angkat," kata Mat Zaman kepada KLpos.com.
Sebagai Pengarah Pilihanraya PKR Lembah Pantai, Mat Zaman memang tidak 'menang tangan'. Menurutnya, sokongan terhadap Nurul Izzah begitu luar biasa sekali.
"Amat berbeza suasananya dari tahun 1999 dan 2004, mana saja kita bawa Nurul Izzah, orang ramai datang bersalam terutamanya golongan wanita," katanya ketika ditemui di Flat Kampung Abdullah Hukum malam semalam.
Nurul Izzah bersama beberapa pemimpin PKR berceramah di tengah-tengah flat tinggi bersebelahan dengan pusat membeli belah Mid Valley itu.
Perhatian media luar biasa
Selain peminat misteri, kata Mat Zaman, Nurul Izzah sentiasa menarik perhatian media, setiap hari wartawan dari berbagai agensi telefon bilik gerakan hendak tahu di mana lokasi Nurul Izzah, kerana mereka hendak buat liputan.
"Ada dari Singapura, Hong Kong, macam-macam, semua hendak ikut Nurul Izzah berkempen," katanya lagi.
Dari pemerhatian KLpos.com, semalam di Flat Kampung Abdullah Hukum sahaja, ada lebih kurang 10 wartawan bersama jurugambar dari berbagai agensi berita.
"Bagusnya bila ada wartawan ikut, segara tidak langsung ia menarik perhatian orang, dan bila mereka sedar ada Nurul Izzah, mereka cepat-cepat hendak bersalam dan berjanji akan undi PKR kali ini," Kata Mat Zaman.
Izzah rayu media jangan putar belit
SEMENTARA itu, dalam ucapannya, Nurul Izzah berkata, beliau berterima kasih dengan perhatian media massa kepada dirinya dan PKR di Lembah Pantai.
Namun, dalam nada merayu, calon muda itu berkata, "tapi tolonglah, jangan putar-belit kenyataan kami, beri kami liputan yang adil, biar rakyat yang memilih, jangan buat pilihan untuk rakyat,"
Menurut Izzah, beliau bertanding di Lembah Pantai kerana kawasan tersebut merupakan tempat jatuh bangunnya.
"Saya membesar di sini, berkahwin di sini, dan kini memiliki cahaya mata di sini, sebab itu Lembah Pantai menjadi pilihan saya untuk bertanding, dan jika saya menang, saya akan pastikan suara yang berkumandang di Parlimen nanti, adalah suara orang-orang Lembah Pantai," katanya yang hadir bersama suaminya Raja Shahrir dan adik-adiknya, Nurul Iman dan Nurul Hana.
Sokongan keluarga untuk Izzah
Lebih 500 orang penduduk turun mendengar ceramah tersebut, namun sebahagian besar hanya memerhati dari tingkap dan koridor flat tinggi tersebut.
Apa yang menariknya adalah, sebahagian besar yang mendengar ceramah Nurul Izzah itu adalah bersama keluarga masing-masing.
Sekumpulan remaja memakai baju bergambar Anwar Ibrahim turut kelihatan mundar mandir bersama bendera PKR dan PAS.
Bolehkah Izzah menang? tanya KLpos pada Mat Zaman.
Jawab beliau "Angin dah ada, cuma kena kerja kuat lagi bagi jadi gelombang,".
- http://klpos.com
No comments:
Post a Comment