21 February 2008

Mat Sabu silap, Abu Bakar Chik, Ibrahim Ali tidak silap

Sama seperti artis, para pemimpin politik kadang-kadang kelihatan bimbang dengan wartawan. Hatta kalau si pemberita bertanya soalan yang karut sekalipun, mereka tetap beralah, menunjukkan muka yang manis dan tetap menjawab dengan sabar segala persoalan yang dikemukakan.

Terbaru yang menjadi mangsa ialah Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu. Beliau memang dikenali dengan sikap enggan melayan polis dan media-media pro-Barisan Nasional (BN). Beliau pernah berkata, "Kalau jumpa, aku tegur depa (polis dan wartawan-wartawan media pro-BN) elok-elok. Tapi, dekat-dekat dengan depa; kalau press, bagi statement, aku tak nak".

Sikap itu sebenanrnya sangat disenangi ramai ahli dan penyokong PAS.

Tetapi kali ini beliau tewas.Tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi, pemberita Bernama tanya, dia jawab. Akhirnya, jawapan-jawapan beliau membolehkan Bernama mencanai berita bertajuk "Mat Sabu tak yakin menang di Terengganu". Berita itu tersiar dalam Berita Harian dan mStar.

Lebih sedap lagi kepada mereka, Utusan Malaysia berjaya memberikan tajuk "Mat Sabu lari lagi" kepada berita tersebut. Ulasan mengenai perkara itu telah disiarkan oleh Harakahdaily dalam berita bertajuk "Putar, putar, jangan tak putar".

Semua orang yang pernah mengenali Mohamad Sabu tentu tidak percaya beliau begitu bodoh untuk memberikan kenyataan bahawa beliau tidak yakin PAS akan menang di Terengganu.

Apa pun, Mohamad Sabu telah melakukan kesilapan yang amat besar kerana melayan pemberita Bernama itu. Silap teramat silap.

Benarkah beliau tidak yakin PAS boleh menang? Sejak selepas peristiwa polis mengganasi rakyat dengan peluru hidup di Batu Burok lagi, beliau tidak henti-henti memberitahu kebangkitan rakyat di Terengganu kali ini "lain macam". Sejak dari itu, beliau tidak pernah memberitahu bahawa kebangkitan itu telah surut.

Pernah sekali beliau memberitahu, "anak-anak muda (di Terengganu) lain macam. Ramai sangat yang terang-terang sokong PAS.

"Itu satu petanda. Aku teringat di Kuala Kedah pilihan raya 2004 dulu, kalau kita jumpa anak muda berhimpun, senyum sumbing kita. Pakat-pakat pasang bendera kati (dacing) di motosikal depa, pakai t-shirt kati, topi kati..." (Kini di Kuala Kedah, anak-anak muda menyokong PAS pula)

Liputan TV3 mengenai tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terenganu (MBKT) merentap bendera-bendera PAS dengan bantuan polis memperlihatkan begitu ramai anak-anak muda yang bersama-sama PAS. 'Footage' berita TV3 itu membuktikan kata-kata Mohamad Sabu.

Mengenai tindakan MBKT, antara lain, Utusan Malaysia pula melaporkan:

Keadaan menjadi semakin kecoh dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik yang meminta penyokong pembangkang itu menghalang tindakan MBKT mengakibatkan mereka menyerbu anggota pihak berkuasa tempatan itu yang sedang melaksanakan tugas mereka.

Penyokong pembangkang itu turut menggoyang tangga yang digunakan oleh kakitangan MBKT menyebabkan mereka nyaris terjatuh.

Adakah tindakan Abu Bakar silap? Kalau beliau silap, bagaimana tindakan yang sewajarnya? Adakah beliau perlu hadir ke tempat kejadian dengan lenggang Mak Limah, tersenyum dan meliuk-liuk meminta tindakan MBKT itu dihentikan? Atau, adakah beliau perlu mengatur istilah, melunakkan kata serta memberitahu pegawai MBKT dengan penuh rasa muhibbah, "ana harap janganlah macam tu, ya akhi..."

Persoalannya, adakah MBKT bertindak adil kepada semua pihak?

Sebab itulah, ketika memberi amaran kepada pihak polis supaya jangan mencetuskan sebarang kekecohan sepanjang tempoh menjelang pilihan umum raya 8 Mac ini, Mohamad Sabu mengingatkan, jika bendera-bendera PAS itu direntap dengan alasan bahawa ia digantung pada prasarana awam, polis jangan bertindak secara berpilih atau selektif.

"Hampir beribu-ribu bendera BN yang diikat pada tiang elektrik, mengapa tidak rentap sama?

"Bukan setakat bendera BN, malah hampir beribu-ribu bendera Umno yang diikat pada tiang elektrik. Mengapa tidak rentap? Sedangkan tidak ada lambang Umno yang digunakan oleh mana-mana pihak yang bertanding dalam pilihan raya," katanya lagi.

Mohamad Sabu menyifatkan tindakan polis menjadi pekerja-pekerja pilihan raya Umno sebagai ancaman kepada proses pilihan raya yang adil dan saksama.

"Kita beri amaran kepada polis jangan jadi musuh kepada pilihan raya yang adil dan saksama.

"Berapa kamu dapat sehingga sanggup jadi musuh kepada pilihan raya yang adil dan saksama? Berapa BN upah kamu? RM40 sehari? Berapa banyak nasi bungkus kamu dapat? Kita boleh bagi supaya kamu tidak mencetuskan sebarang kekecohan dalam pilihan raya ini," beliau menyindir tindakan polis itu.

Dengan makar sedemikian, tindakan Abu Bakar ternyata tidak silap. Kalau silap, adakah tindakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu bertentangan dengan Surah Asy-Syuara ayat 39-40?

Utusan Malaysia semalam juga melaporkan:

Sidang akhbar Ibrahim itu juga tegang seketika apabila beliau 'naik angin' terhadap seorang wartawan yang bertanya sama ada laluan yang diberikan oleh Pas untuk bertanding kerusi itu melibatkan pemberian wang kepada parti tersebut.

Beliau yang berang dengan soalan yang dianggap cuba menjejaskan kewibawaannya serta memberi gambaran buruk terhadapnya bertindak merampas alat perakam suara milik seorang wartawan lalu mencampakkannya.

Selepas berbuat demikian, Ibrahim bingkas bangun dari kerusi tetapi ditenteramkan oleh pembantunya.

Ibrahim dengan nada suara keras berkata, beliau berasa amat terhina dengan soalan itu.

Beliau bersumpah dengan nama Allah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Datuk Ibrahim Ali juga berkata, lapor akhbar itu, beliau tidak kisah sekiranya ada pihak yang menganggap dirinya sebagai ‘Raja Lompat’ kerana tidak setia kepada parti yang pernah diwakilinya.

“Nak kata apa, katalah. Saya hanya tukar parti, bukan tukar agama. Yang penting rakyat tahu macam mana saya bekerja dan apa (khidmat) yang telah saya buat,” akhbar itu memetik beliau berkata.

Sebagai calon pilihan raya, adakah Ibrahim tidak boleh bertindak demikian? Atau, seperti artis yang sentiasa hidup ketakutan dan bimbang dibunuh atau dicederakan oleh laporan wartawan, adakah Ibrahim perlu tersenyum manis sehabis manis dengan soalan biadab itu? Adakah beliau membetulkan suara dan air muka lalu menjawabnya selembut Cik Siti Wan Kembang?

Ibrahim tidak silap. Soalan itu memang biadab dan memang mahu menyakitkan hati.

Tidak mungkin pemberita itu mudah lupa bahawa dalam pilihan raya 2004, Ibrahim terpaksa bertanding sebagai calon bebas dalam pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan BN. Dalam pilihan raya itu, Ibrahim jauh hati dengan PAS.

Kalaulah benar PAS boleh dibeli olehnya, tentulah Ibrahim dapat membeli kerusi Pasir Mas waktu itu.

Sebab itulah, tindakan Ibrahim tidak silap.

Media-media pro-BN tidak akan berlaku adil kepada pembangkang. Kalau ada yang mempercayai demikian, meminjam frasa yang pernah digunakan oleh Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, lebih baik anda percaya babi boleh terbang!
- harakahdaily

No comments:

Post a Comment