21 February 2008

Jamin lulus permit ceramah

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Polis memberi jaminan akan meluluskan semua permohonan permit ceramah daripada parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, selain memberi kelonggaran dalam pengeluaran permit, polis juga akan menimbangkan permohonan yang dikemukakan pada saat-saat akhir.

Menurutnya, dalam membuat pertimbangan terhadap setiap permohonan, polis akan bersikap adil terhadap semua parti sama ada pemerintah mahupun pembangkang.

Bagaimanapun, beliau meminta semua parti politik atau calon yang bertanding supaya mengemukakan senarai penuh ceramah dan perhimpunan yang mahu dianjurkan sepanjang tempoh berkempen.

“Saya telah arahkan ketua-ketua polis negeri dan ketua polis daerah supaya berlaku adil dan luluskan semua permohonan mendapatkan permit ceramah sepanjang tempoh kempen.

“Bagaimanapun, mereka masih perlu memastikan lokasi setiap ceramah yang mahu diadakan tidak menggugat ketenteraman awam dan mengganggu lalu lintas,” katanya di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengenai senarai ceramah yang diminta polis, Musa menjelaskan, ia bagi memastikan tiada dua atau tiga ceramah anjuran parti berlainan diadakan bersebelahan yang boleh menyebabkan ketegangan atau pergaduhan antara penyokong.

Menurutnya, bagi ceramah di kawasan persendirian, parti terbabit tidak memerlukan permit tetapi penganjur mesti memastikan tidak lebih 20 orang awam menghadiri atau mendengarnya.

“Kalau lebih 20 orang awam dipanggil, walaupun ceramah di kawasan persendirian, mereka kena ada permit,” katanya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh terdekat ini atau selepas penamaan calon pada Ahad ini, polis akan memanggil semua pemimpin parti politik dan calon terbabit untuk diberi taklimat.

“Kita akan jelaskan kepada mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh buat sepanjang berkempen pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, polis juga akan memantau dan merakamkan semua ceramah yang diadakan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, ini bagi memastikan mana-mana parti tidak menyentuh isu perkauman dan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Jelas beliau, jika berlaku krisis atau kekacauan, Pasukan Tindakan Krisis (CRT) yang telah dibentuk akan dihantar ke lokasi terlibat.

“Selain itu, Unit Tindakan Rusuhan (PORU) akan membantu CRT ketika krisis berlaku,” katanya.

Sementara itu, Musa memberitahu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar telah diberi tugas memantau perjalanan pilihan raya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Koh Hong Sun pula memantau kawasan utara; Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Abdul Razak Bokhari (Selangor, Kuala Lumpur); Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Zinin (selatan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin (Perak).

- Utusan

No comments:

Post a Comment