29 February 2008

HARON DIN : PRU MEDAN RAKYAT MENGHUKUM PEMIMPIN

HARAKAH – (29-02-2008)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan Islam membenarkan kempen mendedahkan keburukan calon parti lawan bagi memastikan pemimpin yang dipilih oleh rakyat benar-benar berwibawa serta berkredibiliti.

Sebelum itu beliau menyelar sikap pihak akhbar tempatan yang melaporkan kenyataan bercanggah maksud mengumpat yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya sudah mendengar sebelum itu apa yang Haji Hadi sebut bukan seperti yang dilaporkan dalam utusan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, orang yang berkempen sama ada Umno atau PAS boleh menyebut keadaan sebenar iaitu keburukan orang yang bakal menjadi pemimpin (calon).

Katanya, suasana sekarang kerajaan menjadi satu medan yang akan dihukum oleh rakyat dan perlu menghadapi tuduhan daripada pembangkang.

Sebagai contoh tambah beliau, tindakan kerajaan menaikkan harga barangan dan tol merupakan keburukan yang boleh disebut supaya rakyat boleh mengetahui perkara sebenar.

"Kerajan telah berbohong terhadap rakyat dan inilah yang dimaksudkan mengumpat iaitu menyebut keburukan calon yang bertanding dalam pilihan raya," tegasnya.

Dr Haron yang bertanding di P.003 Arau berkata, PAS menjanjikan tawaran jika menang dalam pilihan raya harga minyak akan diturunkan sebanyak 30 sen satu liter.

Bagaimanapun, tambah beliau, BN mendakwa jika PAS memerintah dengan menurunkan harga minyak maka negara akan menjadi bangkrap.

Katanya, jika benar harga minyak turun 30 sen menjadikan negara bangkrap ia bererti ekonomi Malaysia begitu rapuh dan kedudukan kewangan negara amat lemah.

Sedangkan kata beliau, penurunan 30 sen itu merupakan 15 peratus daripada harga minyak sebenar bermaksud kerajaan akan menerima kekurangan defisit daripada penjualan minyak dengan harga diturunkan 30 sen.

Beliau mempersoalkan adakah dengan kekurangan pendapatan sebanyak 5.4 bilion boleh menjadikan negara bangkrap sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (laporan NST).

"Kalau kita mempunyai wang sebanyak 10 juta tiba-tiba kita kehilangan tiga juta, adakah kita akan bangkrap?" soalnya.

Tambah beliau, jika benar bangkrap bermakna ekonomi negara begitu teruk dan selama ini pimpinan negara sudah bercakap bohong dengan rakyat.

Menurut beliau, inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS boleh menyebut keburukan yang ketara bukan bermaksud mengumpat, mencaci orang tanpa alasan dan tidak tepat pada waktunya. Beliau menegaskan, dalam kempen pilihan raya rakyat berhak menghukum untuk memilih pemimpin yang betul-betul berwibawa.

"Sekarang ini rakyat menuduh pemimpin merosakkan sistem ekonomi dengan pilihan raya tidak telus dan menyeksa rakyat dengan pelbagai isu, jika tuduhan ini tidak benar pemimpin perlu membela diri," katanya.

- http://pakcik-orangkampung.blogspot.com

No comments:

Post a Comment