<-- Pas Dakwa Idris Berniat Jahat
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh, bahawa Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang angkuh kerana kononnya enggan bersalaman dengan calon Barisan Nasional merupakan satu fitnah.
Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, menjelaskan perkara tersebut tidak berbangkit sama sekali memandangkan Ustaz Hadi tidak diperkenalkan dengan calon BN ketika rombongannya bertembung dengan rombongan calon BN.
"Selepas proses bantahan, Presiden bergegas turun ke bilik media untuk menghadiri sidang media tergempar berhubung protes mengenai duti setem yang dimatikan. Ketika itu beliau bertembung dengan rombongan BN dan sama-sama memberi salam, namun beliau tidak kenal dengan calon tersebut dan mereka juga tidak menghulurkan tangan untuk bersalam.
Jadi, tidak timbul soal Presiden enggan bersalam, tetapi ia dimanipulasikan pihak akhbar dan ini adalah fitnah," jelas beliau kepada media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Roslan, yang melahirkan kekesalan presiden atas insiden tersebut turut menegaskan bahawa perbuatan pihak akhbar itu seolah-olah menggambarkan pemimpin nombor satu PAS itu dengan gambaran negatif, sedangkan ia berlaku sebaliknya.
Tambah beliau, pihak media yang membuat liputan pada hari penamaan calon di sana, tentunya lebih arif tentang perkara sebenar yang berlaku di situ. Malahan, dakwaan Idris itu juga tidak dibuktikan dengan gambar mahupun video insiden tersebut.
"Kita telah menghubungi wakil media bebas di sana untuk mendapatkan gambar, bagaimanapun dimaklumkan tiada insiden berkenaan. Idris boleh menambah apa saja dalam memastikan kemenangan berpihak kepada BN," jelas Roslan.
Mengulas bentuk tindakan yang mungkin diambil berhubung fitnah tersebut, Roslan menegaskan PAS tidak akan mengambil tindakan sekarang untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada pilihan raya umum ini.
- http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment