27 February 2008

Anggota tentera ada dua nama pada buku daftar pemilih

KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) – Mungkinkah pengendalian pilihan raya yang dijalankan di negara ini benar-benar telus. Namun sebenarnya ramai yang masih mempertikaikan.

Terbaru pengundi pos di kalangan anggota tentera dikatakan sebahagiannya mempunyai dua nama dalam buku daftar pemilih. Namun sejak isu itu didedahkan nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membisu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, sebahagian pengundi pos mempunyai dua nama pada buku berasingan iaitu sebagai pengundi tentera dan satu lagi terdapat dalam senarai pengundi awam.

Bercakap pada sidang media hari ini katanya, ada anggota tentera memberi maklumat berhubung namanya dicatat pada senarai undi pos dan undi awam.

“Pada masa yang sama nama mereka ada dalam dua buku daftar pemilih, saudara bayangkan sendiri apa akan berlaku apabila seseorang pengundi diberi peluang untuk mengundi dua kali,” ujarnya.

Oleh itu, katanya SPR wajar memberi penjelasan segera berhubung perkara itu dan PAS bersedia memberi kerjasama bagi sama-sama menanganinya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS dan rakyat akan kecewa sekiranya SPR tidak mengambil sebarang tindakan berhubung gesaan tersebut.

Bagaimanapun apa yang lebih penting suasana yang bakal berlaku dalam negara selepas pilihan raya, sekiranya ia dikendalikan tidak bersih dan adil.

“Ini tentunya akan menggugat kestabilan negara yang telah dibentuk oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Pada persidangan media media itu Husam turut mendedahkan pengundi yang berusia 100 hingga 128 tahun terdapat dalam buku daftar pemilih di seluruh negara sekarang berjumlah lebih 1,000 orang.

Menurutnya, PAS begitu sangsi terhadap fakta itu memandangkan umur mereka sudah begitu lanjut yang begitu ramai.

“Kalau benar mereka masih wujud, kita telah berjaya mencipta rekod dunia iaitu mempunyai jumlah orang tua yang begitu ramai,” ujarnya.

Sebahagian nama pengundi berkenaan tertera dengan nama, alamat dan usia masing-masing dalam buku daftar pemilih.

Beliau juga berkata, kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) dilihat semakin terdesak apabila cuba menghadkan kebebasan rakyat terutamanya di Kelantan dalam menentukan sesebuah kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini arahan telah dikeluarkan untuk tidak mengizinkan majlis program pembangkang khususnya PAS menggunakan skrin besar bagi memaparkan apa yang berlaku.

Tindakan SPR itu katanya, seolah-olah meminta rakyat menutup mata agar tidak dapat melihat di sekelilingnya dengan apa yang berlaku dalam negara.

“Ini bererti rakyat diminta memejam mata dan hanya perlu membuka telinga sahaja, iaitu dengar ceramah sahaja dan jangan melihat.

“Saya rasa tindakan ini amat janggal, sudahlah kita tidak ada siaran televisyen sendiri, kita diketepikan dalam laporan media arus perdana, dah lah tak ada radio, nak masuk iklan dalam surat khabar pun tidak diizinkan,” ujarnya.

- http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment