24 February 2008

Abdullah ditempelak, Umno-BN kalut dalam pemilihan calon

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Pemerhati politik dan ahli akademik menempelak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pimpinan tertinggi Umno-BN kerana gagal menyediakan senarai calon Barisan Nasional (BN) lebih awal.
Menurut Timbalan Naib Canselor (HEP) dan Allumni Universiti Utara Malaysia, Prof Dato Dr Faiz Ahmad dalam segmen wawancara secara langsung di TV3 pagi ini, ketidakcekapan BN terutamanya pimpinan tertinggi parti dalam menamakan calon-calon untuk bertanding menggambarkan berlakunya kemelut dalaman BN.

"Perkara sebegini tidak patut berlaku apatah lagi dalam konteks Umno. Kami lihat sebagai pemerhati politik bahawa dalam parti ada masalah dalaman,"jelasnya apabila ditanya oleh pengacara mengenai perubahan nama-nama calon di saat-saat akhir.

Tambah Dr Faiz lagi, sebagai parti politik yang telah lama berkecimpung dalam politik negara ini, Umno sepatutnya matang dan perkara mengenai perubahan nama-nama calon di saat akhir tidak berlaku.

"Tidak patut berlaku, kematangan politik patut ada pada Umno,"katanya sambil membidas tindakan Umno yang mengecewakan calon-calon dan penyokong yang digugurkan di saat akhir.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial, Dato' Dr Denilson Jayasooria juga bersetuju bahawa tindakan yang dilakukan oleh BN dalam mengubah senarai calon yang dikemukakan akan menyebabkan kekecewaan di kalangan calon dan penyokong parti.

" Jangan...dah beritahu kemudian tukar, dah beritahu kemudian tukar...susah, bila wakil rakyat ditukar susah kebaikan wakil rakyat lama untuk diketahui oleh pengundi sesuatu kawasan,"bidas Denilson mengenai sikap tidak konsisten Umno-BN yang kerap menukar calon dalam pilihan raya kali ini.

Menurutnya, antara penyumbang kepada penukaran di saat akhir ini berkemungkinan berlaku akibat politik melobi dalam parti.

Katanya, tindakan ini bila berlaku akan menyebabkan ketidaktentuan.

Dalam pada itu, Dr Faiz memuji tindakan parti politik lain dengan merujuk kepada pembangkang terutamanya PAS yang menyediakan calon-calon lebih awal dan ini menurutnya memberikan gambaran betapa bersiap sedianya parti PAS.

Tambahnya, keadaan ini memberikan kelebihan kepada PAS dan pembangkang kerana memberikan gambaran bahawa mereka lebih bersedia, tersusun dalam gerak kerja dan tidak berlakunya perpecahan dalam parti.

Katanya, bila dalam keadaan begini berlaku 'advantage' kepada PAS, rakyat melihat kecekapan ada dalam pembangkang dan undi akan berpihak kepada mereka.
- harakahdaily

No comments:

Post a Comment