30 January 2008

Ziela Redha Pemergian Megat Junid

KUALA LUMPUR, 24 JAN 2008: Takdir menentukan selepas pelakon Rosyam Nor kehilangan ayahanda tersayang buat selama-lamanya semalam, pelakon dan produser terkenal, Norzilah Jalil atau lebih dikenali sebagai Ziela Jalil, 40, pula kehilangan suami tercinta, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65.


Allahyarham Megat Junid yang pernah menjawat tugas penting dalam barisan Kabinet ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menghembuskan nafas terakhirnya, kira-kira jam 5.25 pagi di Hospital Pantai, Bangsar.


Allahyarham disahkan meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah prostat yang dideritainya sejak 16 bulan lalu.

Difahamkan, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepada isteri pertama, Puan Sri Faizah Shuib, 63, agar menjaga hubungan baiknya dengan Ziela serta anak-anak mereka, Puteri Julia Nabila, 15, dan Megat Jufri Nasrulah, 13.


Paling mengharukan, ketika Allaryarham tenat, kesemua ahli keluarga mereka sempat berkumpul di sisi beliau di wad terbabit. Pergi dalam keadaan cukup tenang, jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, di sini selepas solat Zuhur, petang tadi.


Ziela ketika ditemui di tanah perkuburan, jelas tidak henti-henti menitiskan air mata. Selain Ziela, Puteri Julia dan Megat Jufri juga sebak meratapi pemergian ayahanda mereka dan begitu juga keluarga isteri pertama arwah. Apapun, Ziela bersyukur dan redha kerana sebelum ini mereka sempat menziarahi Tanah Suci Makkah.


Dalam program Wanita Hari Ini (WHI), baru-baru ini, Ziela pernah berkata, penderitaan yang dialami arwah suaminya itu membuatkan dia lebih manusia yang lebih tabah dan menghargai kehidupan yang dianugerahkan Tuhan ini.

Sementara itu, pelakon dan produser terkenal, Julie Dahlan yang sememangnya rapat dengan Allahyarham turut terkejut dengan berita kematian Megat Junid. Julie menerima perkhabaran sedih ini melalui ibu Ziela pada awal pagi. Selepas mendapat berita tersebut, Julie terus menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada sahabat-sahabat terdekat.

Julie berkata, selain kenal rapat dengan Megat, beliau juga rapat dengan Puan Sri. Malah, Allahyarham yang mempunyai 3 orang cahaya mata bersama Puan Sri sering bertukar idea dan memberi pendapat mengenai filem dan drama. Malah, dialah orang yang banyak memainkan peranan ketika Ziela mahu menerbitkan drama.

"Sejak arwah sakit, saya kerap juga melawatnya. Namun, kali terakhir saya melawat beliau ialah ketika Raya Haji lalu. Ketika itu, Allahyarham sudah nampak lesu dan lemah.

"Mereka adalah sahabat saya dan macam keluarga. Sebelum saya kenal Ziela, saya lebih dulu kenal arwah," kata Julie.

Selain VIP dan pemimpin negara, ramai rakan selebriti datang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham seperti Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, penyanyi Jamal Abdillah, Zaibo, Julie Dahlan dan anaknya, Hany Nurzara.


Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, Al-Fatihah.

- Murai.com

No comments:

Post a Comment