SHAH ALAM, 3 Jan (Bernama) -- Tujuh lelaki dipercayai warganegara asing melarikan satu dulang barang kemas bernilai kira-kira RM100,000 di sebuah kedai emas di pusat beli belah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kesemua perompak berkenaan yang dipercayai dari Amerika Selatan memasuki kedai menjual barangan kemas itu di mana dua daripada mereka berpura-pura berminat membeli sebentuk cincin emas.
Lima daripada mereka pula bertindak membuka laci pameran di kedai berkenaan dan mengambil barang kemas tanpa disedari oleh dua pembantu kedai berkenaan yang sibuk melayan dua rakan yang berpura-pura mahu membeli cincin.
Pemilik kedai emas itu yang enggan dikenali berkata dua pekerja yang bertugas di kaunter itu hanya menyedari kejadian itu selepas tujuh lelaki berkenaan beredar dari premis itu.
"Selepas semua warga asing berkenaan meninggalkan kedai, barulah mereke sedar satu dulang barang kemas sudah dilarikan," katanya.
Pemilik kedai emas itu membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sejurus selepas kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mohd Shariff Abdul Wahid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment