ISLAMABAD: Dua penyerang dipercayai terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto, Khamis lalu, berdasarkan rakaman jurugambar amatur yang disiarkan media tempatan dan antarabangsa semalam.
Pada masa sama, keganasan terus berlarutan dengan serangan terbaru oleh dua penyerang bunuh diri yang cuba membunuh bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Ijazul Haq.
Stesen Dawn News menyiarkan gambar kabur memaparkan imej dua lelaki seorang berperanan sebagai penembak dan seorang lagi penyerang bunuh diri yang meletupkan bom membunuh Benazir. Bagaimanapun, kerajaan masih mempertahankan dakwaan bahawa anggota al-Qaeda sebagai dalang pembunuhan Benazir.
Ia menyiarkan tiga gambar menunjukkan dua lelaki berdiri di tengah-tengah orang ramai yang bersesak berhampiran kenderaan dinaiki Benazir dalam perarakan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinannya, di Rawalpindi.
Satu gambar memaparkan imej lelaki kemas berkaca mata hitam, berkemeja-T putih dan memakai kot. Di belakangnya, seorang lelaki lain yang mengenakan lilitan selendang putih pada kepalanya yang disyaki penyerang bunuh diri.
Dua daripada gambar menunjukkan lelaki berpakaian kemas itu mengacukan senjata ke arah kenderaan Benazir dan berada pada jarak kira-kira tiga meter dari pemimpin itu. Lelaki berkenaan berdiri di sebelah kiri kenderaan, mengacukan senjata dengan tangan kanannya ketika Benazir membelakangkan penyerang.
Pihak berkuasa berkata, tiga das tembakan dilepaskan ke arah Benazir, disusuli letupan yang meragut nyawanya dan lebih 20 yang lain. Pihak keselamatan juga tidak pasti bilangan sebenar penyerang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.
Akhbar Britain, The Sunday Telegraph pula memetik kenyataan pertama Ketua Penasihat Politik Benazir, Safdar Abbasi yang berada di belakang Allahyarham ketika kejadian itu. 'Selamat panjang umur Bhutto', adalah perkataan terakhir Benazir, sambil melambai orang ramai yang mengelilingi kenderaannya.
"Itulah kata-kata terakhirnya sebelum tiga das tembakan kedengaran dan Benazir terduduk semula di kerusinya. Selepas itu tiada sepatah pun perkataan kedengaran daripadanya.
"Secara tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan. Saya mendengar satu das tembakan dan terus memandang Benazir yang kelihatan tergamam. Kami tidak menyedari beliau sudah ditembak," kata Abbasi.
Sementara itu, dalam keganasan terbaru, Ijazul menjadi sasaran cubaan bunuh apabila penyerang meletupkan bom berhampiran kediamannya. Haq, pemimpin kanan parti Liga Muslim Pakistan-Q (PML-Q) yang memerintah berada 200 meter dari tempat kejadian.
Ijazul dikatakan berada dalam senarai bunuh kumpulan militan. Beliau adalah anak lelaki bekas pemerintah tentera Pakistan, Jeneral Zia-ul-Haq yang menghukum mati bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto, pada 1979.
Cubaan serangan itu tidak membabitkan kemalangan jiwa lain kecuali dua penyerang bunuh diri berkenaan, kata Ketua Polis Daerah, Zafar Abbas Bukhari.
Polis menemui cebisan mayat dan bangkai motosikal di tempat letupan dan percaya suspek sama ada kemalangan atau terjatuh ketika cuba meletupkan bom.
"Kami mengambil dua kepala yang berkeadaan teruk dan tidak boleh dikenal pasti. Seorang mungkin berusia awal 40-an dan seorang lagi lebih muda," kata seorang pegawai. Agensi
(B/Harian)
No comments:
Post a Comment