01 January 2008

Engkaukah itu Chua Soi Lek?

Ketika minum petang tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub membayangkan kemungkinan DVD aksi seks seorang pemimpin kanan MCA mempunyai kaitan dengan perebutan kuasa di dalam parti itu.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin perbuatan merakamkan video itu sudah lama dirancang kerana ia dilakukan dengan begitu menyeluruh.

"Bayangkan, rakaman bahagian B dalam DVD itu (gambar di sini) menayangkan rakaman hubungan seks dari empat penjuru daripada kamera CCTV. Ia membuktikan satu perbuatan terancang dan kepentingan politik dalam tertentu dalam perbuatan itu tidak boleh ditolak sama sekali," katanya.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan perbuatan pemimpin politik berkenaan sudah lama dijejaki oleh musuh-musuh politiknya.

"Kalau tidak, tentulah tidak dipasang kamera CCTV dari empat penjuru," katanya.

Mengukuhkan lagi kemungkinan bahawa perbuatan itu dirancang oleh musuh-musuh politik pemimpin berkenaan ialah berlakunya penyebaran secara percuma DVD itu.

Menurut Malaysiakini, skandal itu mula diketahui umum Sabtu lalu apabila DVD tersebut diletakkan di beberapa lorong di Muar oleh pihak yang tidak dikenali untuk dikutip oleh orang ramai. Malah, sebahagiannya diedarkan kepada beberapa kedai di bandar itu.

Berita Malaysiakini itu menyiarkan gambar keratan dari sebuh akhbar berbahasa Cina.

Laman web berita itu seterusnya melaporkan, DVD tersebut kemudiannya diedarkan di Batu Pahat dan Seremban. Sebuah akhbar harian pula melaporkan penyebaran video itu bermula di Muar dan Tangkak sejak Sabtu lalu.

Salahuddin juga tidak menolak perbuatan terancang itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah kerana perbuatan itu mirip perbuatan kumpulan jenayah untuk melakukan peras ugut. "Bezanya kali ini ia tidak digunakan untuk memeras ugut tetapi untuk menjatuhkan musuh politik seseorang," katanya.

Jika DVD tersebut benar-benar disebarkan oleh kumpulan kongsi gelap, katanya, ia membangkitkan semula tanda tanya tentang apa yang dituduh sebagai hubungan seorang pemimpin kanan MCA dengan ketua kumpulan penjenayah.

"Nampaknya perebutan kuasa dalam Barisan Nasional tidak terhad kepada tindakan membuka hal rumah tangga sendiri seperti yang dilakukan (Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri) Radzi (Sheikh Ahmad) yang secara terang-terangan menyatakan Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

"Malah, sudah melarat kepada pendedahan skandal sesama sendiri. Jangan terperanjat kalau selepas ini lebih banyak skandal akan didedahkan.

"Kalau (Menteri Besar Perlis, Datuk Seri) Shahidan (Kassim) bertindak balas, tidak ada jaminan pemimpin MCA tersebut tidak akan bertindak balas apabila terdedah apa yang didakwa sebagai perbuatan merogol dan memeras ugut yang dilakukannya," kata beliau.

Apa yang berlaku itu, kata Salahuddin lagi, semakin membenarkan telahan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa Barisan Nasional akan menghadapi masalah di kawasan-kawasan panas iaitu Penang, Selangor and Kedah. Sebahagian besar dari kawasan panas yang disebutkan oleh Daim itu, katanya lagi, merupakan kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.

Sebenarnya, bukan Salahuddin seorang sahaja yang meneka kemungkinan wujudnya teori konspirasi dalam penyebaran DVD aksi seks itu. Dalam posting bertajuk "Healthy Sex Life," blogger Aisehman bertanya, "Saya tertanya-tanya, siapakah yang menghunuskan pisau untuk (menikam) 'pemimpin politik nasional' ini?"

Sebenarnya, sebelum Salahuddin memberitahu saya, misteri siapakah pemimpin MCA yang dimaksudkan itu bagaikan terbayang apabila membaca posting Jeff Ooi bertajuk "Minister of Health". Dia tidak menyatakan apa-apa pun mengenai DVD aksi seks, sama seperti postingnya bertajuk "Razak Baginda".

Kali pertama posting bertajuk "Razak Baginda" itu tersiar, ia hanya ditulis "Are you okay?" sahaja. Tetapi, sudah boleh diagak bahawa Razak mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, walaupun tidak ramai lagi yang tahu ketika itu.

Dalam mencari-cari, terjumpa pula posting dengan tajuk bersifat tuduhan, "Chua Soi Lek sex scandal. Karma's a bitch" (hukum karmanya ialah seorang pelacur). Nanti dulu, jangan terburu-buru dan menuduh tanpa bukti, belum tentu lagi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terlibat.

Cari punya cari lagi, rupa-rupanya Roslan SMS (sudah beberapa kali dia lebih cepat dari yang lain) juga menulis mengenai DVD aksi seks itu juga dalam posting bertajuk "Menteri Kabinet Dollah pelakon video lucah?"

Beliau menyiarkan gambar yang tertutup di bahagian mata.

Sebelah petangnya pula, terjumpa posting blogger What A Lulu bertajuk "Lulu Doesnt Know Who The "Pemimpin Politik" Is, But He Must Be Satisfied With The Service". Beliau kelihatan cuba membayangkan sesuatu apabila menyiarkan petikan berita berikut:

"If they are not satisfied with our service, then why come to our hospital? They came on Nov 26. According to logic, if you don't have confidence in our doctors, then why come?

"Kata-kata yang dipetik What A Lulu itu ialah kata-kata Chua yang tersiar dalam berita sebuah akhbar tempatan bertajuk 'Medical mistakes inevitable'.

Seorang lagi blogger, Sean Tang pula cuba membuat tekaan dalam postingnya bertajuk "Who is the MCA Sex Minister?"

Dari pencariannya, didapati hanya dua orang pemimpin kanan MCA yang menjadi menteri dan Ahli Parlimen di Johor iaitu iaitu Presiden MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting (Tanjung Piai) dan Chua (Labis). Chua juga, menurut pencarian Sean, adalah Pengerusi Perhubungan MCA Johor.

Sean membuat pencariannya berdasarkan laporan Malaysiakini yang menyebutkan "seorang pemimpin nasional dari negeri itu" (Johor) dan laporan sebuah akhbar tempatan yang menyebutkan "seorang menteri" dan "ahli politik kanan MCA dari Johor".

(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment