12 January 2008

Siti 'Bertudung'

SEPERTI tahun lepas, dengan meriah dan dalam suasana yang ekslusif, majlis kelahiran penyanyi Datin Seri Siti Nurhaliza yang ke 29 tetap disambut serta diraikan oleh keluarga dan rakan taulan yang dianjurkan oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa sebagai tanda pengikat kasih kepada penyanyi bersuara lunak merdu ini.

Di majlis yang berlangsung pada malam semalam bertempat di ruang legar kolam renang Hotel Le Meridien, Siti tampil bergaya manis dalam busana blaus dan seluar kembang berwarna hitam dan kelabu dipadankan dengan tudung hitam rekaan Radzuan Radzwill.

Menurut Siti, rekaan tudung yang tampak lain daripada lain ini juga diilhamkan oleh beliau dan suaminya setelah mereka menyaksikan pertunjukan Fesyen Islam Antarabangsa pada tahun lalu.

"Selepas kami menonton pertunjukan fesyen tu, terus lahir idea untuk mereka tudung yang Siti pakai ni sebab ia sangat ringkas dan memenuhi stail sekarang.

"Setelah berbincang dengan Radzuan, dia bersetuju dan turut memberi pendapat untuk membuatkan ia lebih menarik dan selesa dipakai.

"Pada mulanya memang Siti rasa kekok tapi lama-lama dah selalu pakai, rasa ok lagipun tudung ni berat dan ia takkan jatuh.

"Memang nampak lain sebab Siti hanya perlu sarung sahaja ibarat menyarung kain batik di atas kepala macam orang dulu-dulu pakai," kata Siti sambil tersenyum disamping suaminya yang turut memakai kemeja dan seluar berwarna sedondon dengannya.

Apabila ditanya kepada suaminya yang lebih popular dengan panggilan Datuk K itu tentang penampilan bertudung Siti, dia memang menyokong kehendak Siti untuk memakai tudung asalkan hati ikhlas dan mempunyai iman yang kuat.

"Saya tak suruh juga tidak melarang dia untuk memakai tudung sekarang. Saya bersetuju apabila dia mengatakan hendak membuat perubahan pada penampilannya secara perlahan-lahan.

"Dia lebih manis bertudung tetapi apabila dirumah, saya juga lebih selesa melihat keayuannya tanpa bertudung.

"Setakat ini ramai kawan-kawan saya yang memberi respon dan pendapat berbeza kepada penampilan barunya di mana ada yang menyokong dan ada yang tidak.

"Tidak kurang juga yang mengatakan beliau terlalu muda untuk berbuat demikian," ujar Datuk K.

Bagi Siti pula, beliau tidak kisah apa yang orang ramai akan perkatakan tentang 'penghijrahan'nya itu kerana beliau memang memasang niat tersebut dari dahulu lagi cuma masa untuk berubah secara mendadak itu amat sukar dilakukan lebih-lebih lagi apabila sudah dikenali.

"Sama juga seperti dulu, Siti pernah berangan untuk duduk di rumah dan menjalankan rutin harian seperti wanita lain apabila sudah berkahwin.

"Tetapi bukan mudah dan sukar bagi Siti untuk membuat perubahan secara drastik sebab Siti ingin menjadi diri sendiri dan bukannya memakai tudung kerana orang lain.

"Apa yang anda lihat sekarang boleh dikatakan sebagai hijrah Siti selepas balik dari menunaikan haji dan hijrah ini membuatkan Siti rasa lebih tenang," beritahu Siti dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu itu.

Menyentuh tentang azam hari lahirnya, Siti ingin menjadi lebih baik dari sudut peribadi dan kerjaya untuk mendapat masa depan yang cerah.

"Siti juga menyimpan hasrat untuk menjadi isteri yang baik. Siti harap suami dapat menjaga Siti dengan baik dan penuh kasih sayang kerana itu lebih penting dari harta.

"Siti minta didoakan segera dikurniakan cahaya mata dan bahagia bersama suami dan keluarga di dunia dan akhirat," luah Siti.

Bertanya tentang hadiah paling bermakna buat Siti dari Datuk K, mereka berdua menyatakan jawapan yang sama iaitu biarlah rahsia seperti tajuk lagu Siti dari album Transkripsi.

"Saya malas nak cakap tentang hadiah ni. Saya memang ada memberi hadiah untuk mengingati hari kelahirannya tetapi saya tak boleh cakap.

"Apa yang saya boleh katakan, saya berjanji untuk memberi kebahagiaan, kejayaan dan kegembiraan (3K) kepadanya," beritahu Datuk K sambil tersenyum.

Antara tetamu yang hadir adalah ibu bapa Siti, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail,
ibu Datuk K, Zainab Hanapi, kakak ipar Siti, Rozie, kakak Datuk K, Zaiton Mohd. Jiwa, dua orang anak Datuk K, Mohd. Adib, 18 dan Mohd. Aziem, 10 serta keluarga Siti dan Datuk K termasuk rakan artis.

Mereka adalah bekas pengacara TV3 Datin Norjuma Habib dan suami, pelakon Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira dan Ijoy, Sharifah Amani, Que Haidar, juara pencarian bintang Pantene Fida, penyampai Hot FM Sharifah Aleya, Shafinaz Selamat, Sean Ghazi, penyanyi Indonesia Rossa dan 30 orang pelakon drama rantaian Spa Q iaitu Zed Zaidi, Betty Banafe, Faradhiya serta ramai lagi.

Menurut Zaiton, majlis yang dihoskan oleh Aznil Hj. Nawawi itu turut meraikan pelakon Spa Q berikutan mereka telah selesai menjalani pengambaran drama 60 episod itu.

Dalam majlis yang tidak ditetapkan tema itu, Siti dan tetamu yang hadir dirancakkan dengan persembahan nyanyian daripada Faradhiya, Aznil, Rossa, Sean Ghazi, adik Siti, Siti Saerah, Syed Sobri dan isteri selaku pengurus muzik majlis tersebut, Azie termasuk kedua ibu bapanya.

Selain itu, majlis memotong kek turut dilakukan dan yang menariknya Shafinaz yang bakal menyambut hari lahirnya pada hari ini juga dijemput meraikan hari lahir sehari awal bersama Siti setelah Aznil mengumumkan kejutan buat Shafinaz dan semua tetamu itu.

Tenyata ramai yang hadir mendoakan Siti cepat dikurniakan cahaya mata dan berada dalam keadaan sihat sejahtera serta dimurahkan rezeki.

- mStar

No comments:

Post a Comment