BATU PAHAT: Sampul surat mengandungi dua keping cakera padat digital (DVD) yang didakwa memaparkan adegan seks seorang pemimpin kanan MCA dengan seorang wanita berusia 20-an, diedarkan secara percuma sekitar Muar dan daerah ini sejak Jumaat lalu.
Sampul surat bertulis ‘sex movie’ itu turut mengandungi nota tertera nama dan jawatan pemimpin berkenaan.
Difahamkan, tindakan itu dipercayai bermotifkan politik untuk menjatuhkan imej pemimpin bertaraf VVIP terbabit.
Beberapa peniaga yang ditemui di sekitar bandar ini mendakwa salinan DVD berkenaan diletak dalam peti surat atau ditinggalkan di hadapan pintu masuk kedai mereka.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Meng, berkata DVD yang dimasukkan ke dalam sampul surat itu diterimanya Jumaat lalu.
“Saya terkejut mendapati ada pihak meninggalkan satu sampul surat bertulis perkataan ‘sex movie’ di hadapan pintu masuk kedai saya.
“Apabila dibuka, saya mendapati ada dua keping salinan DVD bertanda A dan B serta satu nota mengenai nama serta jawatan pemimpin politik yang didakwa terbabit dalam aksi seks berkenaan.
“Berdasarkan imej dalam DVD berkenaan, wajah lelaki itu menyerupai pemimpin politik dinyatakan dalam nota terbabit walaupun rakamannya tidak begitu jelas,” katanya.
Ah Meng berkata, dia percaya aksi seks pemimpin politik itu dilakukan secara rahsia dalam bilik hotel menggunakan kamera tersembunyi,
Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai yang memiliki atau terbabit dalam kegiatan penyebaran bahan lucah itu segera menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata pihaknya boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu.
“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan mengikut Seksyen 292 Kanun Kesiksaan.
“Mereka boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya mengulas pengedaran DVD aksi seks itu yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin politik nasional dari Johor dengan seorang gadis berusia 20-an di sekitar bandar ini, sejak beberapa hari lalu.
Malah, pengedaran DVD secara percuma yang didakwa bertumpu di beberapa kawasan perniagaan itu, turut berlaku di beberapa bandar lain seperti Muar, Tangkak serta Seremban.
“Orang ramai yang memiliki DVD berkenaan diminta tampil membuat laporan atau menyerahkannya kepada polis, bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan mengenainya,” katanya.
(H/Metro)
No comments:
Post a Comment