01 January 2008

Pengedaran DVD lucah iras menteri MCA disiasat

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman mengarahkan siasatan dibuat berhubung pengedaran cakera video digital (DVD) rakaman aksi lucah membabitkan lelaki yang menyerupai seorang menteri Kabinet daripada MCA.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis Johor sudah diarah untuk mengesan individu atau pihak yang bertanggungjawab mengedarkan DVD terbabit di beberapa bandar di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

“Walaupun sehingga kini belum ada laporan polis dibuat mengenai pengedaran DVD terbabit, saya sudah mengarahkan kertas siasatan mengenainya dibuka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

DVD berkenaan, yang mulanya dikatakan hanya tersebar di sekitar Muar dan Tangkak, kini dipercayai sudah beredar ke Johor Bahru dan Lembah Klang. Malah, pembangkang sudah mengambil kesempatan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin meminta kerajaan melakukan siasatan penuh mengenai kes itu.

Mereka yang menyaksikan DVD itu mendakwa imej lelaki dalam rakaman itu menyerupai menteri berkenaan terutama raut wajah dan saiz tubuhnya walaupun percakapan serta mukanya tidak dapat dilihat dengan jelas.

Rakaman hubungan seks selama kira-kira sejam dengan seorang wanita berusia 20-an itu dipercayai diambil menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di bilik sebuah hotel di sini tetapi lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail, ketika dihubungi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

(B/Harian)

No comments:

Post a Comment