10 January 2008

Polis buru penculik Sharlinie

PETALING JAYA 9 Jan. – Kurang 24 jam selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan culik melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun semalam, pagi ini satu lagi kes serupa dilaporkan berlaku di sini.

Kali ini, mangsa, Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dilarikan oleh lelaki sama yang menculik seorang kanak-kanak lain semalam. Lakaran wajah suspek telah diedarkan kepada media hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa terbaru diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun.

Menurutnya, kejadian itu dilaporkan oleh ibu bapa mangsa, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, dan Suraya Ahmad, 28, kepada polis pada pukul 4.04 petang ini setelah usaha mereka mencari Sharlinie gagal.

“Ketika hilang, mangsa yang mempunyai tiga adik-beradik memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu. Kehilangan Sharlinie tidak disedari oleh kakaknya.

“Memang ada kebarangkalian mangsa yang mempunyai ketinggian satu meter, berat 20 kilogram, berambut pendek dan bermuka bulat itu diculik oleh suspek yang sama,” kata Arjunaidi pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini petang ini.

Kelmarin, seorang kanak-kanak, Nur Fatiha Zaidi, 6, dilaporkan diculik seorang lelaki ketika sedang bermain sendirian di pekarangan sebuah flat di Desa Sepakat Sri Manja, Kampung Medan, Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 5 petang.

Jarak flat itu ialah kira-kira dua kilometer dari tempat Sharlinie hilang.

Mangsa yang terpedaya dengan pujukan lelaki itu yang mendakwa mencari kucing dan burung bagaimanapun ditemui semula oleh orang awam di sebuah kawasan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pukul 7.45 petang semalam dan kemudian membawanya ke balai polis berdekatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansur dipetik sebagai berkata, adalah terlalu awal untuk mengaitkan kes tersebut dengan kejadian ‘Abang Kucing’ merogol kanak-kanak yang heboh dikatakan sebelum ini.

Pada 21 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan modus operandi ‘Pencabul Kampung Baru’ dikenali sebagai ‘Abang Kucing’ yang menculik kanak-kanak perempuan dengan cara mengajak mereka mencari kucing hilang dan berpura-pura menunjukkan muka sedih.

Penjenayah itu dipercayai menggunakan taktik memujuk mangsa mengikutnya mencari kucing miliknya yang kononnya hilang. Selepas diculik, kanak-kanak perempuan itu dicabul.

Dalam pada itu, Arjunaidi memberitahu, kedua-dua kes itu sedang disiasat oleh sebuah pasukan khas polis.

Sementara itu, ibu Sharlinie, Suraya ketika ditemui malam ini berkata, dia tidak menyedari Sharlinie dan Sharliena keluar dari rumah.

“Saya ingat mereka pergi mengaji al-Quran di sebuah rumah berhampiran,” katanya.

Setelah dimaklumkan mengenai kehilangan anak bongsunya itu oleh Sharliena, dia bergegas mencari anak perempuannya itu di sekitar kawasan perumahan dengan bantuan jiran-jiran.

“Pengumuman mengenai kehilangan anak saya turut dibuat melalui pembesar suara masjid berdekatan, namun dia gagal dikesan,” kata Suraya.

Suaminya, Mohd. Nashar berkata, anak bongsunya itu merupakan seorang kanak-kanak yang aktif.

Menurut Mohd. Nashar, Sharlinie tidak pernah mengikut orang yang tidak dikenali.

Beliau merayu orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat di mana Sharlinie berada supaya menghubunginya di talian 016-2709096 atau 016-2583450.

- Utusan

No comments:

Post a Comment