26 January 2008

Pemimpin Pembangkang Antara 56 Ditahan Kerana Berhimpun Secara Haram

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Tiga pemimpin parti pembangkang merupakan antara 56 orang yang ditahan polis kerana berhimpun secara haram dan membantah arahan polis untuk bersurai.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam satu kenyataan malam ini berkata mereka terdiri daripada 43 lelaki dan 13 wanita.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhamad Sabtu Osman ketika dihubungi Bernama petang tadi berkata mereka ditahan di perkarangan KLCC berhadapan Jalan Ampang.

"Mereka ditahan kerana mengingkari arahan polis. Mereka juga telah melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan semalam. Mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk diambil keterangan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Polis tidak memberitahu nama pemimpin pembangkang yang ditahan, bagaimanapun difahamkan bahawa mereka ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan Bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli.

Semalam polis mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghalang perhimpunan anjuran sebuah badan yang dikenali sebagai Gabungan Memprotes Kenaikan Harga (Protes) dan mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan individu yang terbabit dengan perhimpunan itu.

Muhamad Sabtu berkata lebih 200 anggota polis dari Dang Wangi, Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am, Light Action Force, dan Rela dikerah mengawal keadaan.

Perhimpunan haram itu disertai kira-kira 300 orang dan polis mengambil masa yang singkat untuk menyuraikan mereka serta mengawal keadaan.

Tinjauan Bernama di lokasi sejak pukul 2 petang mendapati mereka memenuhi beberapa lokasi sekitar Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Lumba Kuda dan kawasan sekitar KLCC.

Aktiviti di sekitar kawasan itu berjalan seperti biasa walaupun perhimpunan haram itu sedang berlangsung.

Jalan-jalan sekitar kawasan KLCC yang ditutup kepada lalu lintas pada pukul 2 petang dibuka semula pada pukul 5 petang ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment