24 January 2008

Megat Junid selamat dikebumi

KUALA LUMPUR 24 Jan. — Jenazah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara dengan dihadiri kira-kira 500 orang.

Jenazahnya dibawa ke kawasan perkuburan dengan kereta jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 2.15 petang.

Bacaan talkin dan doa, oleh Sub Inspektor Mohd. Tahir Malik dari Bukit Aman, selesai pada pukul 2.55 petang.

Kedua-dua isterinya, Puan Sri Faizah Shuaib dan Norzi lah Jalil yang duduk bersebelahan dan lima anak Allahyar ham turut berada di sisi pusara sejak mula upacara pengkebumian hingga bacaan talkin dan doa selesai, sebelum masing-masing menyirami air mawar secara bergilir.

Antara orang kenamaan yang hadir ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Aziz Shamsuddin dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar. _BERNAMA.

Sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Nurul Yaqin di Kelana Jaya oleh kira-kira 300 orang selepas solat Zohor pada pukul 1.50 tengah hari dengan diimamkan oleh DSP Ghazali Daud dari Bahagian Agama dan Kaunse ling PDRM.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir di rumah Allahyarham di Jalan SS7/3 Kelana Jaya ialah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir ialah Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dan bekas Ketua Polis Negara Tun Mohamed Hanif Omar.

Megat Junid meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar pada 5.25 pagi tadi. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment