21 January 2008

Lingam Tidak Mabuk Semasa Bercakap Di Telefon, Kata Saksi

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Peguam Datuk V.K. Lingam tidak mabuk, atau dalam keadaan khayal semasa bercakap di telefon, mengenai apa yang didakwa sebagai mengatur jawatan hakim-hakim, Suruhanjaya Siasatan Diraja diberitahu, Isnin.

Loh Gwo Burne, 34, yang merupakan seorang konsultan berkata, ada `beberapa minuman' diambil pada hari itu, iaitu pada hujung bulan Disember 2001 lepas, tapi beliau berpendapat bahawa ia tidak banyak.

"Saya tidak rasa Lingam mabuk, walaupun sehingga penghujung malam itu sekalipun," kata saksi ke-12 inkuiri yang memasuki hari ke-enam hari ini.

Menjawab satu soalan peguamnya Alex De Silva sekiranya Lingam sengaja "mengada-adakan" perbualan telefon itu, Gwo Burne berkata: "Tidak, adakalanya saya dapat dengar suara seorang lelaki menerusi telefon itu" namun beliau tidak dapat dengar apa yang diperkatakan oleh lelaki itu.

Klip video dimainkan sekali lagi dalam prosiding hari ini. Selepas menonton klip video itu, pegawai pengendali Datuk Nordin Hassan bertanya Gwo Burne sekiranya kandungan klip itu seperti apa yang dirakamnya, dan beliau menjawab: "Saya percaya, ya."

Menjawab satu soalan De Silva, Gwo Burne berkata beliau tidak menganggu, menyunting, atau mengubah suai kandungan rakaman 14 minit itu semasa memindahkan data dari kad memori kepada komputer, dan dari komputer ke komputer ribanya. "Sepanjang ingatan saya, klip video itu merupakan rakaman yang saya buat pada tahun 2001," katanya.

Gwo Burne terdahulu memberitahu bahawa beliau bersama bapanya, Loh Mui Fah pergi ke rumah Lingam malam itu kerana mereka dijemput untuk makan malam, dan juga bagi berbincang mengenai beberapa perkara mengenai soal guaman dengan Lingam, yang merupakan peguam mereka.

Katanya beliau membawa kamera Sony 707 miliknya kerana ia merupakan sebuah kamera baru yang dilengkapi dengan fungsi rakaman yang ingin dicubanya.

Gwo Burne mengaku bahawa rakaman perbualan Lingam dan juga perbualan antara bapa beliau dan Lingam selepas perbualan di telefon itu, dibuat oleh beliau sendiri di rumah Lingam tanpa pengetahuan bapanya.

Beliau berkata pada mulanya beliau hanya mengambil gambar sebuah pasu, namun kemudiannya ia ditukar kepada fungsi rakaman kerana beliau sudah jemu dan jelak dengan Lingam, kerana Lingam sentiasa bercakap di telefon. Gwo Burne berkata Lingam sering melayan perkara-perkara lain dan bercakap di telefon.

Menurutnya Lingam ada keluar untuk beli wain, dan bercakap dengan kakaknya (kakak Lingam) yang turut hadir semasa makan malam itu, dan apabila akhirnya Lingam punyai masa untuk duduk berbincang mengenai perkara guaman dengan mereka, beliau (Lingam) kembali ke telefon.

Menjawab satu soalan Nordin sekiranya Lingam sedar bahawa perbualan beliau di telefon itu dirakam, beliau menjawab: "Saya rasa, tidak."

Lingam muncul buat seketika dalam inkuiri Isnin semasa beliau dipanggil untuk dicam oleh saksi.

Gwo Burne mengenal pasti beliau sebagai lelaki yang bercakap di telefon pada tahun 2001 itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment