14 January 2008

Klip video timbulkan persepsi negatif

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Pegawai Pengendali kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja rakaman klip video perbualan peguam mengenai pelantikan hakim-hakim, Datuk Nordin Hassan berkata, perbualan itu menimbulkan persepsi negatif bahawa berlakunya salah laku dalam urusan pelantikan hakim-hakim di negara ini.

Beliau berkata, sebagai pegawai pengendali, beliau dan rakannya, Datuk Azmi Ariffin bertanggungjawab membantu Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam memutuskan terma-terma rujukan yang ditetapkan berhubung klip video itu.

Katanya, dalam melaksanakan tugas itu, mereka telah memantau satu siasatan berkaitan kes tersebut dan berusaha menyampaikan hasil siasatan yang beliau percaya dapat membantu suruhanjaya membuat keputusan.

Beliau juga berkata, mereka juga berusaha menyampaikan hasil siasatan bagi membantu suruhanjaya mencapai cadangan-cadangan yang sesuai untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

``Secara ringkasnya, kes ini melibatkan satu rakaman klip video yang menunjukkan, antaranya, satu perbualan telefon seorang lelaki berhubung pelantikan hakim-hakim.

``Nama beberapa orang ternama daripada Badan Eksekutif dan Kehakiman termasuk tokoh korporat telah disebut dalam perbualan telefon itu,’’ katanya dalam ucapan pembukaan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bermula hari ini.

Nordin berkata, keterangan saksi-saksi yang dirakam sepanjang siasatan Badan pencegah Rasuah (BPR) dipercayai dapat membantu suruhanjaya dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Beliau mengemukakan senarai 17 orang saksi yang terdiri daripada tiga pegawai BPR iaitu Shahadan Mohd. Yatim, Chuah Lay Choo dan Wan Zulkifli Wan Jusoh.

Shahadan dan Lay Choo telah memberi keterangan hari ini.

Esok, ahli perniagaan, Loh Mui Fah yang menjadi saksi perbualan telefon dalam klip video itu, akan memberi keterangan.

Beliau membuat kejutan apabila mendedahkan bahawa rakaman klip video itu dibuat oleh anak lelakinya.

Selain Mui Fah, turut memberi keterangan ialah konsultan Cybersecurity Malaysia, Mohd. Zabri Adil Talib; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan Penyelaras PKR, Sim Tze Tzin.

Saksi lain ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; tiga bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Mohd. Eusoff Chin, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Selebihnya ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun; peguam Datuk Kanagalingam a/l Vellupillai dikenali sebagai V.K.Lingam dan Pushpa Al Bakri Devadason.- Utusan

- Utusan

No comments:

Post a Comment