KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, kes pembunuhan wakil rakyat bukan satu isu baru dalam politik negara ini.
Sehubungan itu katanya, kejadian pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Dato' S Krishnasamy baru-baru ini perlu diambil iktibar oleh kerajaan bagi mengembalikan hak demokrasi dan kebebasan kepada rakyat.
"Pemuda PAS memandang serius kejadian pembunuhan Dato' S Krishnasamy baru-baru ini kerana ia menjadi ancaman baru terhadap politik negara hari ini.
"Bukan menjadi satu budaya dalam politik negara ini sesuatu masalah atau perselisihan diselesaikan secara kekerasan atau keganasan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Pemuda PAS melihat perkara itu sebagai satu manifestasi daripada amalan tidak demokratik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menghalang rakyat "menyampaikan suara hati mereka mengikut saluran undang-undang yang adil".
Akibatnya, beliau berkata, rakyat bertindak di luar batas undang-undang apabila kemarahan mereka tidak dapat dikawal.
Kerana itu katanya, Pemuda PAS menolak anggapan Dato' Johari Baharum bahawa pembunuhan ini tidak ada kaitan dengan politik.
Ini katanya, sebelum ini, dua wakil rakyat PAS pernah dibunuh pada 1960-an, sebelum pembunuhan Speaker DUN Negeri Sembilan pada 1980-an.
Pada tahun 2000, ADUN Lunas, Dr Joe Fernendez pula dibunuh.
Katanya, ini tidak termasuk pembunuhan pemimpin Wanita Umno di Sabah dan pemimpin Pemuda MCA di Kedah.
Bahkan katanya, kebelakangan ini, menjadi trend di kalangan golongan tertentu untuk melakukan kekerasan ke atas ahli politik.
"Pemuda PAS bimbang dengan perkembangan yang begitu negatif terhadap kestabilan politik negara," katanya.
Tambahan pula katanya, melihat pengalaman beberapa negara, khususnya di Asia Selatan seperti India, Pakistan dan Sri Lanka kini mulai menular budaya membunuh pemimpin politik.
"Di Asia Selatan, satu kawasan yang mempunyai hubungan primordial dengan MIC, telah tercetus budaya pembunuhan politik. Ini kerana dasar rejim pemerintah yang menyekat rakyat untuk bersuara secara bebas dan amalan budaya rasuah dan penyelewengan di kalangan pemimpin politik," dakwanya.
Di Malaysia katanya, sekatan ke atas kebebasan rakyat menjadi pengetahuan umum.
"Media massa dikuasai oleh parti pemerintah, kemudian rakyat dihalang daripada bersuara secara bebas, termasuk berhimpun secara aman. Akta-akta zalim seperti Akta Polis, ISA, Akta Hasutan dan lain-lain disalahgunakan untuk menghalang rakyat daripada menggunakan saluran demokrasi untuk menegur kezaliman kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS mengesyaki pembunuhan tersebut ada kaitan dengan penindasan politik atau penyalahgunaan kuasa pemimpin ke atas rakyat, sedangkan rakyat tidak diberi peluang untuk memberi tindak balas secara demokratik.
"PAS secara terbuka menolak pendekatan kekerasan ini dan PAS tidak mahu pergolakan politik yang tercetus di Asia Selatan merebak ke negara ini. Kerana itu, Pemuda PAS mendesak kerajaan BN berhenti daripada terus menindas rakyat.
"Rakyat mesti diberikan kebebasan bersuara yang sebenar. Selain hak untuk bercakap, hak berpersatuan dan hak berhimpun juga mesti diberikan layanan yang adil dalam pembangunan negara," katanya.
Katanya, proses pilihan raya yang adil juga perlu disediakan untuk rakyat melepaskan perasaan mereka kepada pemimpin dan kerajaan mengikut saluran yang betul.
Beliau berkata, jika kebebasan dan hak rakyat terus disekat, tidak mustahil siri-siri pembunuhan politik akan terus berlaku.
No comments:
Post a Comment