SUNGAI PETANI 3 Jan. – Tiga anggota polis termasuk seorang Ketua Polis Balai dan polis bantuan berpangkat koperal ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kelmarin kerana dipercayai menerima suapan daripada tiga individu yang memiliki motosikal curi.
Utusan Malaysia difahamkan, Ketua Polis Balai berpangkat Sarjan Mejar itu ditahan di pejabatnya di daerah Kuala Muda manakala anggota polis bantuan tersebut ditahan di kedai kopi di pekan Bukit Selambau, kira-kira 28 kilometer dari sini.
Turut ditahan ialah seorang lelaki orang awam yang menjadi orang tengah dalam kegiatan rasuah kedua-dua anggota polis itu.
Suspek berusia 40-an dan 50-an itu dipercayai meminta RM3,000 daripada ketiga-tiga individu terbabit sebagai balasan mengembalikan motosikal tersebut kepada mereka.
Ketiga-tiga orang awam itu berjanji menyerahkan duit tersebut di kedai kopi di Bukit Selambau.
Bagaimanapun, mereka melaporkan perkara itu kepada BPR yang kemudian memasang perangkap menahan anggota terbabit.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi di Kuala Lumpur malam ini mengesahkan mengenai penahanan dua anggota polis dan orang awam tersebut.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997.
- Utusan
No comments:
Post a Comment