25 December 2007

25.12.07 - Pakaian seragam sekolah makin mahal

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Ibu bapa yang membuat persiapan menjelang sesi persekolahan 2008 mengeluh kerana terpaksa menanggung kenaikan mendadak harga pakaian dan kelengkapan sekolah.

Harga pakaian seragam sekolah yang dijual di pusat-pusat beli-belah dilaporkan naik sehingga 100 peratus berbanding harga tahun lalu.

Mereka mendakwa kenaikan itu amat membebankan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kompleks beli-belah sekitar ibu kota mendapati pakaian seragam pelajar sekolah menengah mencecah sehingga RM33 sepasang manakala harga purata baju kurung pelajar perempuan sekitar RM25 sepasang.

Seorang eksekutif kewangan, Ahmad Johan Abd. Jamil, 39, memberitahu, beliau terpaksa membelanjakan sehingga RM300 untuk setiap seorang anaknya menjelang sesi baru persekolahan Januari ini.

“Pada tahun lalu saya hanya mengeluarkan belanja sekitar RM150 untuk seorang anak. Kini perbelanjaan saya telah naik sehingga sekali ganda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isterinya, Azidah Abdullah, 38, memberitahu, seluar pendek jasmani pelajar sekolah rendah yang berharga RM20 sudah cukup untuk membuktikan kenaikan kos kelengkapan persekolahan.

“Saya masih ingat tahun lepas seluar pendek ini hanya dijual pada harga RM15, tetapi sekarang seluar yang sama sudah naik kepada RM20 sehelai. Tapi apa nak buat, kami terpaksa juga membelinya demi pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Pasangan dari Ampang itu mempunyai dua anak yang masih belajar di sekolah rendah manakala seorang lagi menuntut di sekolah menengah.

Seorang bapa, Foo Chee Chun, 35, yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Kepong dekat sini turut memberikan pendapat yang sama.

“Paling kurang saya membelanjakan RM150 bagi seorang anak untuk sesi baru persekolahan nanti. Tahun lepas, setiap seorang hanya memerlukan sekitar RM90,” katanya yang mempunyai lima anak yang menuntut di peringkat rendah dan menengah.

Menurut Chee Chun, berikutan kenaikan harga kelengkapan sekolah yang agak tinggi, beliau tiada pilihan melainkan meminta anak-anaknya menggunakan pakaian dan peralatan sekolah yang digunakan oleh kakak dan abang mereka yang telah menamatkan persekolahan peringkat rendah.

Seorang kakitangan swasta, Mohd. Yusof Omar, 42, pula berkata, kenaikan harga kasut sekolah paling dirasainya kerana sepasang kasut kini mencapai harga RM30 sepasang.

Dahulu, kasut yang sama dijual hanya sekitar RM20.

“Walaupun saya boleh beli kasut yang berharga RM18, tetapi kualitinya rendah. Saya rasa ia mudah rosak.

“Sekalipun perbelanjaan persekolahan meningkat saban tahun, saya terpaksa membeli kelengkapan baru demi masa depan anak-anak,” jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah S. Sandanasamy, 57, memberitahu, kenaikan harga barang memang tidak dapat dielakkan.

Beliau percaya ibu bapa yang sanggup berbelanja untuk anak-anak akan mendapat balasan setimpal dalam bentuk prestasi cemerlang anak-anak dalam peperiksaan.

Anaknya, William John, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala David John akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment