24 December 2007

24.12.07 - Keanggotaan Naib Ketua Pemuda Gerakan boleh digantung – Tsu Koon

PULAU PINANG 23 Dis. – Parti Gerakan telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Naib Ketua Pemudanya, S. Paranjothy kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, tindakan tersebut juga diambil kerana perbuatan Paranjothy didapati membelakangkan semangat Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk siasatan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CCC) bagi tindakan selanjutnya.

“Kami memandang serius perbuatannya mengkritik pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan mengeluarkan kata-kata keras untuk menyerang parti komponen BN secara terbuka.

“Ia perbuatan yang kasar dan amat tidak wajar,” kata Tsu Koon pada sidang akhbar di pejabat parti Gerakan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Tsu Koon menjelaskan, pelbagai bentuk tindakan boleh dikenakan terhadap Naib Ketua Pemuda Gerakan itu termasuk menggantung keanggotaannya atau memecatnya daripada parti.

Baru-baru ini, Paranjothy mengeluarkan kenyataan yang telah disiarkan dalam Internet mendakwa UMNO merupakan salah satu punca mengapa kaum India terpinggir di negara ini.

Beliau menuduh pemimpin UMNO gemar menjadikan parti komponen BN sasaran serta menjadikannya batu loncatan untuk mengekalkan populariti UMNO dalam kalangan masyarakat Melayu.

Berikutan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendesak Tsu Koon segera memberi penjelasan berhubung kenyataan Paranjothy itu.

Dalam nada keras, Hishammuddin berkata, kalau penjelasan tersebut gagal diberi atau tidak memuaskan, tidak mustahil Pemuda UMNO serta BN akan memutuskan hubungan dengan parti Gerakan.

Menurut Tsu Koon, Paranjothy sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan Gerakan sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung atau menyakitkan hati kaum-kaum lain di negara ini.

“Tindakan beliau bertentangan dengan nasihat saya selama ini supaya Gerakan mengambil pendekatan positif dan membina dalam menyelesaikan masalah,” tegasnya.

Tsu Koon menambah, Paranjothy memang wajar dikenakan tindakan tatatertib kerana telah menggunakan hujah tidak wajar malah beliau sengaja memperbesarkan isu tanpa mengikut amalan BN.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan kenyataan Hishammuddin bahawa Pemuda UMNO akan memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai Paranjothy sebagai tidak tepat kerana Paranjothy hanya seorang pemimpin muda.

Beliau berkata, Hishammuddin boleh mengutuk serta mengkritik Paranjothy atau Pemuda Gerakan selain meminta penjelasan daripadanya selaku pemimpin Gerakan tetapi ugutan Ketua Pemuda UMNO itu untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan memang tidak wajar.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment