KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - "Kita akan terus berhimpun untuk menuntut hak berhimpun, dan kita akan terus berhimpun hingga perhimpunan yang kononnya dikatakan haram jadi halal.Perhimpunan aman adalah halal, tiada himpunan yang haram," kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu semasa berucap dalam himpunan di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.Ucapan itu disahut dengan gema tempikan slogan 'hidup rakyat' oleh kira-kira 300 peserta himpunan sempena penyerahan memorandum kepada Suhakam.
Himpunan itu diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada Suhakam dalam menyokong dan mendesak badan itu menggesa kerajaan memberi hak berhimpun secara aman sesuai dengan saranan badan itu dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Antara yang hadir ialah Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah; Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Pengerusi Gabungan Mempertahan Hak BerHimpun, S.Arutchelvan; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh;AJK Pusat DAP,Ronnie Liu; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Mariah Mahmood dan Ustaz Idris Ahmad; wakil Majlis Peguam Malaysia, Amer Hamzah Arshad; Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin dan wakil-wakil mahasiaswa serta NGO.
Sementara Suhakam diwakili oleh Pesuruhjayanya, Dato' N.Sivasubramaniam, Denison Jayasoorya dan Tan Sri Asiah Abu Samah serta beberapa Pegawai Suhakam yang lain.
Berucap lanjut Mohamad Sabu berkata, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan hari ini mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis yang mengekang himpunan aman dengan mengenakan syarat permit.
Katanya lagi apa yang dikesalkan, dalam kes himpunan Hindraf, Peguam Negara telah membebaskan peserta dari tuduhan cuba membunuh hanya kerana desakan dari campur tangan politik.
"Ini satu permainan politik yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.Kerajaan menggunakan kuasa mereka untuk menyekat hak rakyat," katanya lagi.
Rakyat dan parti-parti pembangkang secara terbuka menentang keganasan dan tidak pernah melakukan keganasan dalam himpunan aman, katanya.
Tetapi akibat tindakan polis, himpunan aman akhirnya menjadi tidak aman, ujarnya.
Lebih dahsyat lagi pihak polis dipergunakan oleh parti pemeruntah hanya untuk menahan suara rakyat yang menuntut hak pembersihan dalam perjalanan pilihan raya.
Penangkapan, kerajaan dan polis cemar Parlimen
Himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) pada 10 November menyaksikan 34 orang ditahan, dan himpunan-himpunan selepas itu turut dikasari oleh pihak berkuasa, katanya.
"Kemuncaknya pada 11 Disember lalu di Parlimen tempat tertinggi undang-undang negara digubal dan sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat mengadu, tempat yang mendaulatkan undang-undangt itu juga telah dicemari dengan insiden penahanan peserta himpunan aman oleh polis.
"Ini satu tindakan yang mencemar kemuliaan Parlimen, dan ia mencemar kedaulatan rakyat.Undang-undang telah dilacurkan sewenang-wenangnya," ujar Mohamad Sabu sambil beberapa orang pegawai Cawangan Khas (SB) memerhati tepat ke arah Naib Presiden PAS itu.
Justeru itu beliau menyokong pendirian Suhakam yang mahu hak berhimpun rakyat secara aman yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksana kerajaan tanpa menyekat dengan akta yang membelakangi perlembagaan.
Sementara itu Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah turut menyatakan bahawa hak berhimpun secara aman telah dicabuli oleh pihak berkuasa polis.
Insiden penahanan aktivis dan pemimpin dalam himpunan aman membayangkan betapa kerajaan hari ini tertekan dengan suara rakyat yang mahukan perubahan berlaku, katanya.
Beliau turut mahu kerajaan menghormati hak berhimpun ini yang nyata dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan dakwaan yang menyatakan bahawa himpunan ini 'bukan budaya kita' adalahs atu pembohongan.
"Rakyat kata ini (perhimpunan aman) adalah budaya kita," tegasnya.
Bila keadilan dikekang, penentangan jawabnya
Senada dengan Sivarasa, wakil Majlis Peguam Malaysia, Amer Hamzah yang juda ditahan dalam satu himpunan aman di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, hak berhimpun terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi sebelum ini banyak himpunan aman telah digagalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui tindakan polis menahan dan menyekat himpunan, katanya.
Bagi peguam muda itu, hak berhimpun perlu dipertahankan dan ia sesuai dengan himpunan hari ini yang bertujuan untuk menggesa Suhakam menasihati kerajaan mengenai perkara yang telahpun menjadi pendirian Suhakam sebelum ini iaitu hak berhimpun tanpa perlu memohon permit polis.
Bagi Amer, Seksyen 27 Akta Polis yang mana penguatkuasaan penggunaan permit untuk penganjuran himpunan amatlah bercanggah dengan perlembagaan yang lebih tinggi kedudukannya.
"Bila keadilan dikekang, penentangan adalah tanggungjawab kita," tegasnya bersemangat.
Sindiran kepada polis
Aktivis muda, Badrul Hisham Shaharin yang juga Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, pula secara berseloroh mengusik anggota polis dengan ucapan yang sinis.
"Cuba pegang telinga kita (peserta himpunan) ada tak?Cuba tengok telinga polis, ada tak? ada tak yang cedera?.Ini bermakna himpunan kita adalah aman, dan aman jika tiada kekacauan dari polis.Polis kena hormati hak ini," katanya sinis.
Beberapa orang SB memerhati, dan seorang SB yang biasa ditemui penulis di setiap kali adanya himpunan aman atau sidang media pembangkang menjeling 'tajam' ke arah Badrul Hisham.
Sementara itu, Pengerusi himpunan aman hari ini, S.Arutchelven telah menyerahkan memorandum tuntutan dari 50 NGO dan lima parti politik kepada Pesuruhjaya Suhakam, Denison Jayasoorya.
Memorandum itu menjelaskan tiga tuntutan yang menyokong pendirian Suhakam dalam isu hak untuk berhimpun.
Antaranya ialah, menuntut Suhakam tegas dalam pendiriannya terdahulu sebelum ini yang menyatakan hak untuk berhimpun oleh rakyat secara aman dijamin dalam perlembagaan dan tiada penggunaan permit polis dalam hal ini.
Memorandum itu juga menuntut agar akta polis terutamanya Seksyen 27 (Permit) dimansuhkan kerana ia bercanggah dengan perlembagaan.
Selain itu memorandum itu juga mendesak Suhakam mengambil pendirian dalam satu keputusan mahkamah yang tidak membenarkan sebarang himpunan aman diadakan.
Kunci kebebasan
Terdahulu sebelum penyerahan memorandum, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob telah menyerahkan replika berbentuk kunci kepada Suhakam sebagai tanda simbolik kepada usaha memperjuangkan hak kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman.
Himpunan aman yang disertai 300 peserta hari ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan polis selama sejam.
Dari jam 11.00 pagi, himpunan diserikan dengan laungan slogan 'hidup rakyat' dan 'pertahan hak berhimpun' oleh peserta himpunan.
Pihak berkuasa polis telah menempatkan anggotanya di sekitar kawasan himpunan depan bangunan yang menempatkan pejabat Suhakam dekat sini.
Tiga 'black marea' diletakkan di belakang bangunan sementara beberapa buah kereta peronda di sekeliling bangunan.
Namun, tiada aksi penangkapan berlaku, dan keadaan cukup terkawal tanpa insiden yang mencetus huru-hara.Beberapa aktivis yang ditemui menyatakan pandangan bahawa jika himpunan tidak diganggu polis, ia akan berjalan secara aman.
"Hari ini kita membuktikan bahawa himpunan itu aman jika tiada gangguan polis," kata Badrul Hisham.
(HarakahDaily)
No comments:
Post a Comment