KOTA BHARU 18 Dis. – Ibu bapa gadis Malaysia yang dikenakan hukuman mati di China, Umi Azlim Mohamad Lazim, akan berlepas ke negara itu esok setelah mendapat kebenaran menemui anak mereka di penjara Shantou pada Hari Raya Aidiladha Khamis ini.
Mohamad Lazim Jusuh, 50, bersyukur kerana hajatnya bersama isteri, Umi Slaia, 45, untuk menemui anak sulung mereka, Umi Azlim, 24, yang ditangguhkan minggu lalu akhirnya dapat ditunaikan.
Beliau berterima kasih kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di negara itu yang membantu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Guanzhou untuk melawat anak mereka walaupun hanya sekejap.
Menurutnya, mereka dijadual berlepas ke China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 9.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Guangzhou kira-kira pukul 1.35 tengah hari.
‘‘Saya dan isteri akan berada di sana selama enam hari. Segala persiapan termasuk visa perjalanan dan kebenaran untuk bertemu Kak Long (Umi Azlim) di penjara itu telah diperoleh.
‘‘Ibunya juga tidak sabar untuk berjumpa. Dia nak bawa bersama sepasang kurung berwarna merah dan hijau yang telah siap dijahit sejak tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Awal bulan ini, media melaporkan mengenai penahanan seorang bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (Unimas) itu ketika melalui pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Shantou, Guangzhou kerana didapati menyeludup heroin seberat 2.98 kilogram pada Januari lepas.
Dia dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu dan tidak dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh dua tahun.
Mohamad Lazim dimaklumkan dia dan isteri diberi peluang antara 30 minit hingga satu jam bertemu anaknya kerana terikat dengan peraturan pihak berkuasa di penjara berkenaan.
‘‘Tak mengapalah. Kami akan menggunakan masa berkenaan sebaik-baiknya sebab mengetahui betapa payah untuk berjumpa dengan Kak Long setelah terpisah kira-kira setahun,” ujarnya.
Selain isteri, pemergiannya ke China turut diiringi Mohd. Judin Sahat, 48, dan seorang jurubahasa, Hua Pang Chow.
No comments:
Post a Comment