14 December 2007

14.12.07 - Pelekat kebal: Ramai pegawai JPJ akan disiasat

PUTRAJAYA 13 Dis. - Ramai lagi pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutama di Johor, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan disiasat berhubung kes `pelekat kebal.’

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung perkara itu dan akan menyerahkan kepada BPR untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tidak tolak kemungkinan ada beberapa pegawai lagi akan disiasat.

“Bila sampai masanya kita akan dedahkan mana-mana pegawai yang terlibat dan kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di seminar "UNECE WP29: Langkah Ke Depan Dalam Pengawalan Kenderaan di Malaysia" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Ahad lalu, tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang anggota polis adalah antara lapan orang yang ditahan kerana disyaki menjadi dalang melindungi lori-lori dan kenderaan perdagangan daripada ditahan melalui sindiket penggunaan ‘pelekat kebal.’

Mereka ditahan oleh BPR dalam operasi di Negeri Sembilan dan Selangor baru-baru ini.

Para pegawai JPJ terbabit, yang salah seorang daripadanya kini bertugas di Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Putrajaya, di samping anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Nilai dipercayai menjadi dalang kepada sindiket ‘pelekat kebal’ itu.

Sindiket ‘pelekat kebal’ itu selalunya menjadikan syarikat atau pemilik lori yang sering membawa muatan berlebihan sebagai pelanggan untuk mengelak daripada dikompaun serta diheret ke mahkamah.- Utusan

No comments:

Post a Comment