13 December 2007

13.12.07 - Ribut salji di utara AS ragut 24 nyawa

DES MOINES, Iowa 12 Dis. – Ribut salji di bahagian tengah utara Amerika Syarikat (AS) terus menimbulkan keadaan kucar-kacir dengan lapangan terbang terbesar di negeri Iowa ditutup, penerbangan tertangguh di Chicago dan beratus-ratus ribu penduduk bergelap tanpa bekalan elektrik.

Sehingga kini, bencana itu telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa.

Presiden George W. Bush semalam mengisytiharkan darurat di Oklahoma dan mengarahkan supaya bantuan persekutuan dihantar bagi melancarkan usaha pemulihan.

Para pegawai kerajaan di negeri Missouri, Kansas dan Oklahoma telah pun mengisytiharkan keadaan darurat selepas jalan-jalan, pokok, kabel elektrik dan cermin kereta diselaputi ais setebal 3 sentimeter, kelmarin.

Iowa bukan sahaja diselimuti lapisan ais setebal 2.5 sentimeter tetapi juga menerima hujan beku dan salji setebal 12.7 sentimeter.

Kira-kira sejuta penduduk di negeri-negeri terbabit bergelap tanpa bekalan elektrik, termasuk hampir sejuta buah rumah, pejabat dan gedung perniagaan di Oklahoma.

Lapisan ais yang tebal telah menyebabkan kabel elektrik terputus dan ranting-ranting pokok patah, yang mencetuskan keadaan bergelap paling teruk dalam sejarah Oklahoma.

“Keadaan di sini tidak ubah seperti di medan perang dengan keadaannya teruk sekali.

“Kami mungkin terpaksa bergelap lebih lama sebelum bekalan elektrik dapat disambungkan semula,” kata Ed Bettinger, seorang jurucakap untuk Syarikat Perkhidmatan Awam Oklahoma.

– AP

No comments:

Post a Comment