13 December 2007

13.12.07 - Letupan di Algiers angkara Al-Qaeda

ALGIERS 12 Dis. – Rangkaian Al-Qaeda hari ini mengaku bertanggungjawab melancarkan dua serangan bom kereta yang menyebabkan sekurang-kurangnya 62 orang terbunuh di sini semalam.

Cawangan Al-Qaeda di Maghreb (BAQMI) dalam kenyataan di sebuah laman web mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, tetapi kesahihan dakwaan itu belum disahkan.

“Kami ingin memaklumkan berita baik kepada negara-negara Islam.

“Serangan ini bertujuan mengingatkan pejuang salib yang menjajah tanah kita dan mencuri kekayaan kita.

“Para pejuang syahid Maghreb (Algeria) juga bersedia melancarkan lebih banyak serangan sehingga semua tanah orang Islam dibebaskan,” tegas kenyataan tersebut.

Pengakuan itu turut disertakan dengan gambar dua penyerang berani mati dikenali sebagai Abdel Rahmane al-Assmi dan Ammi Ibrahim Abou Othmane.

Sementara itu, Perdana Menteri Abdelaziz Belkhadem menegaskan, angka kematian yang diterima oleh pihak berkuasa merupakan angka sebenar.

“Kami tidak ada alasan untuk menyembunyikan kerana setiap titisan darah yang tumpah merupakan darah rakyat Algeria,” ujarnya.

Ia merupakan serangan bom terbaru dalam siri serangan yang menggegarkan ibu negara dan bandar-bandar utama Algeria yang menyaksikan kira-kira 100 orang terbunuh sepanjang tahun ini.

Sementara itu, ketika pertikaian mengenai angka kematian masih berlarutan, para petugas berjaya menarik tujuh mangsa yang selamat dari bawah runtuhan akibat serangan bom yang disasarkan ke atas pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pelarian (UNHCR) dan beberapa pejabat agensi PBB.

Serangan kedua pula membunuh dan mencederakan sekumpulan pelajar yang sedang bersesak-sesak dalam sebuah bas yang sedang lalu berhampiran kereta yang diletupkan di luar bangunan Mahkamah Tinggi di tengah Algiers.

Kerajaan menyatakan, 30 orang terbunuh dan 177 cedera dalam dua serangan tersebut, sementara sumber hospital memberitahu, 62 orang mati dan kira-kira 100 cedera.

PBB menyatakan, sekurang-kurangnya 10 kakitangan bandan dunia itu maut dan ramai lagi masih belum dikira ketika para penyelamat yang dibantu oleh anjing pengesan mencari mangsa yang masih selamat di bawah runtuhan.

Ahli-ahli keluarga mangsa yang terkejut berkumpul tidak jauh dari tempat kejadian sambil menanti berita terbaru orang tersayang.

Seorang wanita meraung dan terjelepok di atas tanah selepas mendengar berita mengenai anak lelakinya antara yang maut dan terpaksa dibawa pergi oleh pihak berkuasa.

– AFP

No comments:

Post a Comment