30 November 2007

30.11.07 - Pasangan termahal bercerai talak satu


KUANTAN 29 Nov. _ Pasangan Datuk Roslan Hashim dengan Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan yang melangsungkan perkahwinan tahun lalu dengan wang hantaran berjumlah RM444,444.44, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan di sini hari ini.

Lafaz cerai itu disahkan oleh Roslan, 50, yang juga kontraktor kelas A dan pemilik Merak Melaka Beach Resort setelah persetujuan bersama di antara kedua-dua pihak dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunos.

Puteri Shahanaz, 25, yang juga bekas model sambilan dan penari kebudayaan negeri Pahang melalui peguamnya, Dzulkarnain Mohamad memfailkan permohonan cerai pada 4 Oktober lalu.

Sebelum melafazkan cerai, Abdul Rahman memberi kebenaran kepada pasangan tersebut untuk bersalam, namun Puteri Shahanaz dilihat menggelengkan kepala tanda tidak mahu berbuat demikian.

Pasangan itu juga kelihatan tenang sejurus lafaz cerai disebut.

Dalam persetujuan bersama itu, Roslan selaku defendan yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, bersetuju menceraikan plaintif, Puteri Shahanaz dengan bayaran mutaah sebanyak RM100,000 termasuk nafkah idah yang akan dibayar secara ansuran sebanyak RM5,000 sebulan.

Selain bayaran itu, sebanyak RM1,500 juga akan dimasukkan ke dalam akaun plaintif sebagai nafkah anak mereka, Putera Airil Imran, 6 bulan.

``Kedua-dua bayaran itu akan dimasukkan serentak ke dalam akaun plaintif dalam minggu pertama setiap bulan bermula Disember ini dan Puteri Shahanaz juga berhak membuat semakan semula nafkah anak setelah dia mula bersekolah,'' katanya.

Selain itu, kata Dzulkarnain, anak guamnya turut menarik balik permohonan saman hadhanah yang difailkan semalam, sebaliknya atas persetujuan bersama, hak penjagaan anak akan diberikan kepada Puteri Shahanaz.

Pihaknya turut memohon mahkamah supaya membatalkan perintah interim hadhanah yang ditetapkan pada 14 November lalu.

Beliau memberitahu, Puteri Shahanaz turut membenarkan bekas suaminya menemui dan bermalam dengan anak mereka pada hari Sabtu dan Ahad bermula 22 Disember depan dengan syarat menghantar semula anak itu sebelum pukul 10 malam hari Ahad.

``Jika anak itu tidak dihantar pada waktu yang ditetapkan, hak bermalam itu akan ditarik balik. Roslan juga tidak dibenarkan membawa anak mereka bercuti ke luar negara tanpa persetujuan Puteri Shahanaz,” ujarnya.

Persetujuan bersama itu turut menuntut Roslan supaya datang sendiri mengambil anak tanpa mewakilkan kepada sesiapa pada hujung minggu, begitu juga ketika menghantarnya semula.

Pasangan itu diijabkabulkan pada 8 September tahun lalu dengan mas kahwin bernilai RM22.50 dengan tambahan sebanyak RM22,222.22 sementara wang hantaran pula berjumlah RM444,444.44.

Utusan Malaysia difahamkan, keluarga pihak lelaki memberikan 23 dulang hantaran termasuk sebuah kereta BMW 320i bernilai RM250,000, barang-barang kemas bernilai RM150,000, cincin berlian RM20,000 dan seutas jam jenama Rolex bernilai hampir RM25,000.

Kos keseluruhan perkahwinan itu dianggarkan sebanyak RM3.5 juta.- Utusan

No comments:

Post a Comment