30 November 2007

30.11.07 - Kes rogol meningkat, lebih 70 peratus mangsa 18 tahun ke bawah

PUTRAJAYA 30 Nov. - Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Maximus J. Ongkili berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, sebanyak 2,432 kes rogol dilapor dalam tempoh itu berbanding 1,849 kes tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan melahirkan rasa bimbang berhubung perkara itu apabila mendapati kebanyakan kes yang dilapor didakwa dilakukan oleh mereka yang dikenali termasuk bapa dan teman lelaki.

“Ini memberi gambaran yang menyedihkan dan menunjukkan peranan institusi keluarga dan masyarakat sekeliling amat penting untuk mengatasinya.

“Apabila diteliti, ia banyak membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah dan ini merungsingkan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Kempen Pencegahan Jenayah Rogol anjuran MCPF di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee.

Maximus berkata, daripada jumlah keseluruhan kes yang dilapor itu, sebanyak 942 kes membabitkan mereka yang dikenali termasuk rogol berkumpulan.

Sebanyak 752 kes dilapor dilakukan oleh teman lelaki, bapa (75 kes), bapa tiri (45 kes), bapa saudara (61 kes) dan bapa angkat (sembilan kes), katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MCPF akan mengadakan kempen kesedaran besar-besaran mulai tahun depan dengan kerjasama pelbagai agensi dan masyarakat awam dalam usaha mengurangkan kadar jenayah itu.

“Kempen itu akan melibatkan institusi keluarga, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat awam perlu diberi kesedaran agar dapat mengawasi pergerakan golongan remaja memandangkan kebanyakan kes membabitkan penjenayah yang dikenali termasuk selepas berkenalan setakat satu atau dua hari.

- Bernama

No comments:

Post a Comment