30 November 2007

30.11.07 - ‘Barongan bukan milik kami’

Daripada SOPHA SULAIMAN

JAKARTA 29 Nov. – Malaysia tidak pernah mendakwa tarian barongan atau reog yang berasal dari Ponorogo Jawa Timur adalah miliknya tetapi dikembangkan sebagai salah satu seni tarian tradisional oleh masyarakat etnik Jawa yang menjadi warganegara Malaysia sejak berkurun lamanya.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abdin Mohamad Zain menjelaskan, tarian barongan itu dibawa oleh nenek moyang masyarakat Jawa yang tinggal di Johor dan Selangor.

Katanya, Malaysia mengembangkan dan melindungi seni tari itu sebagai salah satu kebudayaan Melayu kerana begitu ramai masyarakat Jawa di Malaysia yang sudah ditakrifkan sebagai orang Melayu.

Beliau menjelaskan tentang kontroversi tarian menggunakan kepala singa itu kepada kira-kira 1,000 orang aktivis kebudayaan yang mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Tunjuk perasaan itu diadakan sebagai protes terhadap penggunaan tarian kepala singa oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebagai salah satu tarian kebudayaan di Malaysia.

Ratusan anggota polis mengawal demonstrasi itu yang berlangsung kira-kira dua jam yang turut diwarnai dengan pentomin dan persembahan tarian reog.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Jero Wacik berkata, Indonesia dan Malaysia akan membentuk sebuah jawatankuasa yang pakar dalam selok-belok budaya dan warisan bagi menentukan asal usul kesenian antara dua negara.

– Utusan

No comments:

Post a Comment