05 July 2023

125 banduan fail petisyen dakwa didera warden penjara

 


PETALING JAYA - Seramai 125 banduan di sebuah penjara di utara tanah air yang mendakwa diri mereka didera warden menandatangani petisyen menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) pada Rabu, ini kali kedua petisyen seumpama itu dihantar, susulan dakwaan penderaan di satu lagi penjara di negeri sama.

Banduan berkenaan menulis draf petisyen itu sebelum menyerahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara, baru-baru ini.

Tahun lalu, Husaini turut membuat laporan berhubung penderaan banduan namun Kementerian Dalam Negara (KDN) dan Jabatan Penjara sehingga kini belum memberi maklum balas.

Dua banduan yang dibebaskan terbabit mendakwa mereka didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul kerana berbual dan kononnya ingkar ketika sesi perhimpunan.

“Jika mereka mendengar Suhakam atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu,” kata mereka merujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Selain dihukum kerana berbual, mereka turut mendakwa tahanan reman sering dikenakan pemeriksaan rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

“Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk ‘kopek durian’ (mengepak punggung),” katanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.

Bekas banduan berkenaan turut mendakwa bekalan air terhad menyebabkan mereka tidak dapat mandi sehingga lapan hari dan sukar membersihkan diri selepas membuang air besar selain berwuduk.

Mereka turut mendakwa bimbang makanan disediakan kerana dihidangkan atas pinggan berkulat selain diberi nasi basi dan sepotong kecil ikan kukus.

Menurut mereka, tahanan yang mengadu akan dihukum wadar sama ada dipukul atau dikenakan kurungan seorang diri.

Mereka turut mendakwa dinafikan hak asasi termasuk waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sepatutnya jika sakit.

Hussaini yang hadir bersama FMT ketika temu bual itu berkata, beliau akan menulis kepada KDN dan Jabatan Penjara untuk mengetengahkan isu itu.

FMT juga telah menghubungi pengarah penjara negeri terbabit dan komisioner jeneral penjara untuk mendapat maklum balas.

 

 

 

No comments:

Post a Comment