16 December 2021

Pelantikan Nik Ezanee sebagai ADC PM berkuat kuasa hari ini


PETALING JAYA: Pelantikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal sebagai pegawai Aide De Camp (ADC) atau juru iring kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, masih tiada pengesahan lanjut daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pertukaran terbabit juga bagaimanapun tidak disiarkan di dalam sistem E-siar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kebiasaannya, apa-apa maklumat pertukaran atau arahan akan disiarkan dalam E-siar termasuk pertukaran serta merta mana-mana pegawai,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Nik Ezanee ketika dihubungi Utusan Malaysia bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memberitahu satu pemakluman akan dibuat PMO dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia tidak dapat memastikan pemakluman berkenaan berhubung perkara apa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Utusan Malaysia turut enggan mengulas mengenai pelantikan itu memandangkan tiada arahan mengenai pertukaran tersebut.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment