03 October 2021

Penjelasan isu rusuhan depan tokong Salak Selatan


PANDUANKINI | Pada 28 September lalu, beberapa rakaman video tersebar di media sosial memaparkan rusuhan melibatkan sekumpulan individu dengan anggota polis.

Seramai 24 individu ditangkap berkaitan insiden itu yang mengundang perhatian ramai.

Setakat ini, tiada satu pihak yang memberikan penjelasan yang jelas berkenaannya dan ia mungkin kerana isu itu melibatkan beberapa pihak berkepentingan.

Panduankini kali ini juga menjelaskan kekeliruan yang tercetus.

Ada tokong yang dirobohkan?

Tiada. Tokong yang terlibat - Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur - tidak terusik.

Mengapa pihak berkuasa datang bersama mesin jentolak?

Pihak berkuasa mahu mengambil bahagian kecil tanah yang memisahkan tokong dengan SJKC Tai Thung di bahagian selatan.

Ia merupakan tanah kerajaan dan diperlukan untuk sebagai laluan ke satu plot tanah di bahagian barat tokong, di mana sebuah sekolah menengah akan dibina.

Bagaimanapun, pihak tokong telah sekian lama menggunakan kawasan itu dan meletakkan pagar, atas sebab ia tidak digunakan sebelum ini.

Mengapa berlaku kekecohan melibatkan polis pada 28 September?

Sekumpulan individu, dipercayai penyokong tokong tersebut, berdepan dengan polis kerana mengandaikan pihak berkuasa akan menceroboh kawasan tokong.

Insiden itu disiarkan secara langsung oleh anggota tarian singa yang berkaitan dengan tokong tersebut. Video tersebut telah dipadam.

Bercakap dengan Malaysiakini, penasihat undang-undang tokong Chan Quin Er membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai "sikap agresif" pihak berkuasa dan reaksi berlebihan penyokong tokong dalam insiden itu.

"Sebenarnya ini boleh dikendalikan secara harmoni. Tetapi kerana berlaku salah faham dan salah komunikasi, konflik yang dikesali ini berlaku," katanya.

Dia berkata pihak tokong akan terus berunding dengan pihak berkuasa untuk mencapai situasi menang-menang.

Setakat ini, polis telah menahan 24 individu kerana disyaki "melakukan rusuhan".

Pihak tokong juga telah memohon maaf dan berkata akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut.

Apa perkaitan SJKC Tai Thung dalam perkara ini?

Laluan masuk utama SJKC Tai Thung terletak di kawasan di mana sekolah menengah baru akan dibina.

Kini, dengan proses pembinaan akan dijalankan di kawasan itu, pelajar dan guru perlu menggunakan laluan masuk belakang yang lebih sempit.

Pengerusi lembaga sekolah, Lim Teong Kwee memberitahu Malaysiakini yang pihak sekolah telah meminta bantuan tiga timbalan menteri pendidikan, sejak pentadbiran Najib Razak.

Mereka ingin meyakinkan kerajaan untuk membenarkan mereka kekal menggunakan laluan masuk utama.

"Perkara ini berlanjutan sehingga 6 Mei lalu, apabila pejabat tanah tiba-tiba menghantar surat meminta kami mengosongkan tanah itu dalam masa 14 hari," kata Lim.

Katanya lagi, kerajaan tidak patut menutup laluan masuk utama sehinggalah perkara itu selesai, demi tidak menjejaskan keselamatan pelajar dan guru.

Pada masa ini, mereka menggunakan pintu kecemasan untuk masuk ke sekolah, yang menurut Lim bukan penyelesaian jangka panjang.

Mengapa SJKC Tai Thung guna tanah kerajaan untuk laluan masuk?

Pihak sekolah telah memohon pemilikan tanah itu pada kerajaan sejak akhir 1990-an. Sejak itu juga, ia menjadi laluan masuk utama ke sekolah.

Pertikaian untuk pemilikan tanah terhenti pada 2015, apabila Kementerian Pendidikan dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan membenarkan sekolah menduduki 2.607 ekar tanah rizab kerajaan secara percuma (Ditanda sebagai #6 pada peta di bawah).


Malaysiakini juga telah melihat persetujuan bertulis antara sekolah dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada 2015 - yang menyatakan sekolah perlu menyerahkan semula tanah itu tanpa pampasan apabila kerajaan memerlukannya semula.

Setakat ini, SJKC Tai Thung telah membelanjakan RM700,000 untuk membina tempat letak kereta, pintu masuk utama dan gelanggang bola keranjang di tanah itu, yang dahulunya tidak digunakan.

Bagaimanapun, pada 2017, kerajaan membatalkan persetujuan dan menuntut balik tanah itu bagi membina sebuah sekolah baru.

Sejak itu, SJKC Tai Thung menjalankan kempen untuk meyakinkan kerajaan agar membenarkan mereka terus menduduki tanah itu.

Mengapa kerajaan tak boleh bina sekolah di kawasan lain?

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon, Kementerian Pendidikan percaya tanah di sebelah SJKC Tai Thung dan Tokong Chee How adalah lokasi paling strategik untuk sebuah sekolah menengah baru.

Ia disediakan untuk penduduk di 7,000 unit flat kos rendah di kawasan sekitar, katanya.

Sumber berita : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment